
KEINDAHAN IRAMA ORANG ULU: Cakera padat muzik sape kaum Penan dan Kayan hasil inisiatif SEB dilancar.
KUCHING:Album muzik sape dalam bentuk cakera padat (CD) yang pertama menghimpunkan muzik sape kaum Penan dan Kayan dari Belaga dilancarkan semalam.
Album yang bertajuk ‘Sape Classics from Belaga’ merupakan hasil inisiatif Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk membangunkan komuniti Penan di Kawasan Penempatan Murum dan Kayan di Sungai Asap.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB Datuk Torstein Dale berkata penerbitan album kompilasi muzik dan lagu itu merupakan pencapaian penting SEB memperkasakan sosioekonomi komuniti di kedua-dua pusat penempatan semula itu.
“Ini adalah pencapaian penting kerjasama yang terjalin antara SEB dengan komuniti di penempatan semula Murum dan Sungai Asap (Belaga).
“Semua keuntungan daripada penjualan album ini akan diberikan kepada pemuzik dan hasil 400 unit pertama dibeli SEB akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Penan Murum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian album berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Torstein menambah, SEB akan terus membantu memasarkan baki 600 unit album lagi menerusi penganjuran pameran dagangan dan penglibatan korporat lain dengan setiap satu berharga RM25.
“SEB amat berbesar hati kerana terlibat dalam penerbitan album ini yang mengetengahkan keunikan dan keindahan alunan muzik Orang Ulu.
“Kami akan berusaha mencari cara membantu komuniti yang terjejas akibat projek-projek menerusi kaedah lestari dengan mewujud dan mengembangkan peluang pendidikan serta pasaran untuk kraf tangan dihasilkan mereka,” katanya.
Tambahnya, ia juga merupakan inisiatif SEB membantu memelihara budaya serta warisan komuniti Penan dan Kayan dengan harapan ia dapat diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain.
Album ‘Sape Classics from Belaga’ menghimpunkan kompilasi muzik hasil petikan sape dan lagu oleh pakar-pakar pemuzik sape Penan iaitu Kuit Kilah dan abangnya Laing Kilah bersama isteri Kulat Adu dari Long Wat Tegulang dari Kawasan Penempatan Semula Murum bersama Munan Epui, berbangsa Kayan dari Uma Nyavieng, Sungai Asap.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta beberapa menteri kabinet negeri yang lain.