Industri pembuatan, syarikat reka bentuk dalaman diserbu dalam operasi berasingan
// Oleh Jessica Jawing //

SITA: Abdul Hafidz (dua kiri) bersama kakitangan KPDNKK lain menunjukkan komputer yang dirampas dalam dua operasi baru-baru ini pada sidang media, semalam.
KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak berjaya merampas tujuh buah komputer yang menggunakan 40 perisian cetak rompak disyaki salinan langgaran bernilai RM575,000 dalam dua operasi baru-baru ini.
Perisian cetak rompak terbabit melibatkan AutoCAD, AutoDeESK dan Microsoft kesemuanya milik ahli Business Software Alliance (BSA).
Ketua Pegawai Penguatkuasanya Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, dua operasi berkenaan diadakan masing-masing pada 20 dan 21 Oktober yang melibatkan industri pembuatan dan syarikat reka bentuk dalaman.
“Operasi pada 20 Oktober lepas melibatkan sebuah industri pembuatan bertempat di Tabuan Jaya di mana kami telah membuat sitaan ke atas empat unit komputer dengan perisian dalamnya bernilai keseluruhan RM500,000.
“Sementara pada operasi 21 Oktober, kita membuat serbuan mengejut ke atas syarikat reka bentuk dalaman bertempat di Tabuan Jaya di mana kita menyita tiga buah komputer dan anggaran rampasan termasuk perisiannya adalah RM75,000,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Kuching di sini, semalam.
Abdul Hafidz memberitahu, operasi itu adalah susulan aduan pengadu iaitu BSA berkaitan cetak rompak perisian komputer yang dilakukan industri dalam tugas harian mereka.
“Ini adalah kejayaan kita bersama pengadu iaitu BSA untuk membuat serbuan-serbuan terhadap premis yang menggunakan perisian cetak rompak dan kita dimaklumkan BSA mempunyai pasukan risikan untuk memantau Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata, rampasan bernilai setengah juta itu merupakan yang tertinggi oleh penguat kuasa setakat ini selepas operasi sama diadakan pada Februari lepas.
Abdul Hafidz memberitahu, meskipun tiada tangkapan individu setakat ini namun rakaman percakapan tiga individu yang bertanggungjawab mengendalikan proses komputer dalam dua kes berkenaan telah dilakukan.
“Kita akan membawa mereka ke mahkamah dan jika disabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987 .
“Di bawah seksyen ini mereka boleh dikenakan denda minimum hingga RM20,000 bagi setiap satu salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya memandang serius berhubung cetak rompak dan akan mempergiatkan pemantauan terhadap industri yang sepatutnya menggunakan perisian asli.
Pihaknya, kata Abdul Hafidz, akan mengambil tindakan serius dan mengambil berat perkara ini selain menggalakkan industri pembuatan dan mana-mana sektor yang menggunakan perisian komputer agar menggunakan perisian asli.