KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Silas di Bahagian Bintulu merupakan sekolah terbaharu yang ditutup akibat terjejas banjir setakat jam 4 petang semalam, sekali gus menjadikan tiga sekolah ditutup di negeri ini.
SK Sungai Silas yang mempunyai seramai 53 pelajar dan 12 guru serta empat kakitangan ditutup ekoran daripada paras air naik setinggi tiga kaki.
Sebelum ini, pada Jumaat lepas hanya dua sekolah ditutup iaitu SK Kampung Klid/Plajau di Daerah Dalat kerana paras air masih tinggi di mana dapur sekolah, blok akademik dan kuaters guru telah dimasuki air.
Sementara sebuah lagi sekolah yang masih ditutup ialah SK Kuala Kenyana di Bahagian Mukah.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, setakat jam 4 petang semalam mangsa banjir yang terlibat dalam pemindahan terus menurun dengan hanya lapan keluarga terdiri daripada 36 orang mangsa.
Mereka adalah penduduk dari kawasan setinggan Bakong dan kini tinggal sementara di pusat pemindahan Dewan Masyarakat Beluru, Bakong.
Secara keseluruhannya pula, 660 keluarga terdiri daripada 2,686 orang mangsa masih terjejas akibat banjir di negeri ini.