Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

MPP galak pemaju hartanah selenggara kemudahan projek

$
0
0

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menggalakkan pembabitan pemaju hartanah dalam penyediaan fasiliti seperti kondominium dan penyelenggaraan landskap khasnya di kawasan projek yang dibangunkan.

Mengambil contoh projek The Cube Condominium oleh Instarmac Development, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, pemaju projek itu bukan sahaja menyediakan fasiliti kelas terbaik, malah menawarkan khidmat penyelenggaraan secara konsisten.

Dengan menyediakan penyelenggaraan ke atas semua fasiliti bagi projek yang dibangunkan, katanya, Instarmac akan membantu meringankan beban MPP dalam menyelenggara sebahagian daripada perkhidmatan yang disediakan.

“MPP merangkumi kawasan seluas 1,432 kilometer persegi dan antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pelesenan, pelan kejuruteraan, kelulusan pelan bangunan, penyelenggaraan jalan, pembinaan jalan, jambatan, perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan landskap.

“Dengan pendapatan yang terhad, ia merupakan cabaran besar kepada MPP untuk menyediakan perkhidmatan yang akan memenuhi aspirasi semua penduduk di kawasan MPP amnya.

“Atas sebab itu, MPP amat memerlukan kerjasama dan sokongan daripada penduduk untuk menjadikan Kuching sebagai tempat yang terbaik untuk didiami dan mengalu-alukan penyertaan pemaju hartanah dalam menyediakan fasiliti serta khidmat penyelenggaraan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Galeri Jualan dan Pelancaran The Cube Condominium di galeri tersebut yang terletak di Premier 101 di sini semalam.

Lo berkata, dalam tempoh 30 tahun akan datang, Kuching bakal membangun dengan pesat yang akan memberi cabaran besar kepada kerajaan khasnya pihak berkuasa tempatan seperti MPP untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pemaju-pemaju hartanah, katanya, bertanggungjawab dalam penyediaan fasiliti kepada penduduk manakala kerajaan memastikan masyarakat menikmati kemudahan awam seperti sistem pengangkutan dan sistem perparitan yang terbaik.

“Semua ini memerlukan rancangan yang teliti, sebagai contoh sistem kumbahan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Kita tidak boleh melaksanakannya terlalu awal atau terlalu lewat kerana jika terlalu awal ia mungkin akan menelan kos yang tinggi dan ia dilaksanakan terlalu lewat ia juga akan menelan kos yang tinggi kerana banyak saluran yang perlu digali.

“Sebab itu, dalam usaha kita membangunkan sesuatu kawasan ia menuntut kerjasama yang penuh daripada semua pihak sama ada pemaju, kerajaan dan rakyat sendiri demi kepentingan bersama,” tambahnya.

Lo dalam pada itu percaya Instarmac akan melakukan tanggungjawab mereka dengan baik terutama apabila beliau difahamkan Instarmac bakal menjadi pemain industri hartanah terbesar di Kuching.

Beliau turut berharap semua penduduk di kawasan MPP akan menghargai persekitaran mereka dengan membantu dalam penyelenggaraan landskap tidak hanya terhad di kawasan kediaman masing-masing.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>