LEDANG: Persatuan Ternakan Unggas Johor memberi jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani kenaikan hargaayam di pasaran sepanjang Ramadan dan ketika sambutan Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamad berkata, jaminan itu dinyatakan oleh Pengerusi persatuan berkenaan, Tan Tuan Cheng dalam satu pertemuan di Johor Baharu, kelmarin.
“Dalam pertemuan itu, saya diberitahu penternak ayam menghadapi masalah tumbesaran ternakan masing-masing berpunca daripada mutu makanan.
“Kebiasaannya, penternak boleh menjual ternakan apabila mencapai berat tertentu dalam tempoh 45 hari tetapi kali ini memerlukan tempoh lebih lama untuksesuai dijual,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada golongan miskin bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang di sini semalam.
Katanya, perkara itu menyebabkan penternak mengalami kerugian, namun mereka tidak akan menaikkan harga jualan di ladang.
Katanya Persatuan Ternakan Unggas Johor juga akan untuk bekerjasama bagi mengesan mereka yang mengambil kesempatan menaikkan harga jualan ayampada musim perayaan ini.
Menurut Ismail, kerajaan negeri dalam pada itu bersedia membenarkan import ayam jika harga ayam terus meningkat.
“Kita membenarkan import ayam untuk memenuhi keperluan pada musim perayaan ini jika peniaga-peniaga ayam terus menerus menaikkan harga jualan mereka melebihi harga siling,’’ katanya. — Bernama