Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Tiada atlet wanita kaliber

$
0
0

TEMPUR: Andrew Sia (kanan) beraksi pada perlawanan akhir judo menentang atlet Terengganu, Muhammad Ruzaini pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUCHING: Kurang minat terhadap sukan tempur dilihat punca utama Persatuan Judo Sarawak (PJS) gagal mencari atlet wanita berbakat untuk mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Ini didedahkan oleh Ketua Jurulatih, Anderson Venus dan memberitahu bahawa ini adalah satu kerugian buat Sarawak memandangkan acara wanita menawarkan banyak pingat pada SUKMA.

Anderson berkata, rata-rata atlet wanita tidak berminat untuk menyertai pertandingan berkonsepkan tempur seperti sukan judo.

“Malah, ada yang lebih mementingkan pendidikan berbanding mewakili negeri,” katanya di sini semalam.

Pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur baru-baru ini, Sarawak hanya menghantar dua atlet wanita sukan judo untuk menyertai acara KATA.

Kedua-dua atlet terbabit, Bong Li Qing dan Chang Bui Kiun yang membuat penampilan sulung bagaimanapun terkeluar awal daripada saingan.

Menurut Anderson, PJS turut berhadapan masalah kewangan untuk memantapkan persediaan atlet-atlet mereka.

“Atlet negeri hanya menjalani latihan pendedahan di Pulau Pinang sebelum SUKMA XVI bermula.

Ini memang tidak memadai jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang menghantar atlet mereka berlatih di luar negara.

“Selain itu, kita juga kekurangan pusat latihan yang dilengkapi fasiliti lengkap bagi memudahkan mereka menjalani latihan,” katanya.

PJS hanya mempunyai dua pusat latihan di Kuching yang berpusat di Sekolah Menengah Chung Hua No.1 dan Pusat Latihan Judo Pending.

Bagi menangani masalah tersebut, Anderson bercadang untuk membuka dua lagi pusat latihan iaitu di Sibu dan Miri dalam masa terdekat.

Katanya, usul tersebut mendapat respon baik dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) semasa beliau mengadakan perbincangan dengan mereka baru-baru ini.

“Dengan adanya lebih banyak pusat latihan, PJS dapat mencari lebih ramai pelapis baharu terutamanya dari kalangan wanita.

Ini juga dapat mempromosi sukan judo dengan lebih menyeluruh di seluruh negeri,” jelasnya.

Beliau juga berharap MSNS dan badan-badan korporat dapat membantu PJS dalam menangani soal kewangan bagi memastikan sukan judo terus berkembang di Sarawak.

Pada SUKMA XVI, Sarawak hanya merangkul dua perak dan satu gangsa masing-masing menerusi Brenton Sim (81kg), Andrew Sia Kah Huong (90kg ke atas) dan Soh Yew Ing (66kg).

Atlet lain yang turut serta ialah Van Vacqur Cotter, Chua Zhi Li dan Lai Lei Wei.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228