GEORGE TOWN: Lebih 70 pembeli rumah kos sederhana rendah Centrio Avenue di Bukit Gambir di sini kelmarin sekali lagi mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemaju projek itu kerana menaikkan harga rumah.
Mereka mendakwa terpaksa membayar antara RM160,000 dan RM180,000 harga baharu rumah itu berbanding harga asal RM72,500 seperti yang ditawarkan pada 2008.
Wakil pembeli, Chuah Guan Huat, 34, berkata walaupun mereka telah beberapa kali membuat aduan kepada kerajaan negeri mengenai tindakan pemaju itu, namun kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan tegas untuk mengatasi masalah itu.
Pemaju perumahan itu menaikkan harga rumah atas alasan melakukan pengubahsuaian dalaman serta harga lot parkir tanpa persetujuan pembeli.
“Kami mahu keputusan yang muktamad kerana surat tawaran membeli rumah ini dikeluarkan kerajaan negeri. Tetapi bila kes ini dibangkitkan, kerajaan negeri asyik berunding dan bermesyuarat sahaja. Sehingga sekarang kes ini tidak dapat diselesaikan,” dakwanya kepada pemberita di sini.
Seorang lagi pembeli, Norlida Masturo, 43, berkata dalam pertemuan dengan pemaju pada 12 Dis lepas, pemaju bersetuju menjual pada harga asal semula tetapi hanya untuk tingkat 14, 30 dan 31 dan mereka masih perlu membayar kos parkir antara RM15,000 dan RM28,000.
Katanya kesemua pembeli tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana pemaju hanya akan menawarkan kepada 42 pembeli daripada lebih 100 pembeli yang menerima tawaran itu.
“Kami berasa seolah-olah dipermainkan…kami terpaksa ambil cuti turun naik pejabat kerajaan negeri dan pemaju, buang masa telefon sana sini tapi masalah tetap tidak selesai,” katanya.
Projek pangsapuri 31 tingkat itu menawarkan 780 unit rumah dengan setiap unit berkeluasan 650 kaki persegi dan dijangka dapat diduduki Mac depan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata kerjaaan negeri masih menunggu laporan rasmi daripada syarikat pemaju itu yang dijadual pada 28 Dis ini.
“Saya hantar surat pada pemaju 18 Dis lepas minta status terkini unit rumah berkenaan dan selepas menerima laporan, kami akan aturkan pertemuan semula antara kedua-dua pihak,” katanya. — Bernama