Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Rh Marepat terbakar, harapan Krismas berkecai

$
0
0

RANAP: Keadaan Rumah Marepat di Sungai Sebungan, Sebauh yang musnah dalam kebakaran pada petang Selasa lalu.

BINTULU: Harapan 31 keluarga dari Rumah Marepat, Sungai Sebungan di Daerah Kecil Sebauh untuk meraikan Hari Krismas berkecai setelah rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran pada jam 5.30 petang Selasa lalu.

Menurut sumber, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur salah sebuah bilik di rumah panjang berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu dengan sebuah jentera pemadam api tiba di tempat kejadian sekitar jam 6.30 petang namun api sudah pun memusnahkan hampir keseluruhan rumah panjang itu.

Anggota bomba turut menghadapi kesukaran mengawal serta memadam kebakaran kerana tidak ada sumber air terdekat di kawasan terbabit.

Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebauh berserta rombongan dari Pejabat Daerah Sebauh antara yang terawal sampai ke lokasi kejadian berkata, bantuan segera akan diberikan kepada mangsa, termasuk bekalan makanan serta keperluan asas lain.

“Melalui perbincangan dengan penduduk rumah panjang, kesemua mangsa akan ditempatkan sama ada di rumah panjang saudara mereka yang berdekatan atau di Balai Raya Sebauh sementara menunggu rumah sementara atau ‘dampa’ siap dibina nanti,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua agensi atau jabatan berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat agar tampil memberikan bantuan bagi meringankan beban mangsa.

“Melalui pemerhatian saya, apa yang menjadi keperluan mendesak mangsa ialah bekalan makanan, selimut, baju, peralatan memasak serta barangan keperluan asas lain kerana semuanya musnah dalam kebakaran terbabit,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu turut bergegas ke Balai Raya Sebauh bagi memberikan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa.

Semalam, Setiausaha Politik Ketua Menteri Victor Temenggung Angang yang mewakili Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.60 Kemena turut menghulurkan bantuan makanan serta keperluan asas lain kepada mangsa.

“Bantuan susulan akan dihulurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi membantu mereka membina semula kehidupan setelah dilanda musibah ini,” jelasnya.

Namun demikian, katanya, mujurlah kebakaran itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penduduk dapat lari menyelamatkan diri ketika berlakunya kebakaran.

Anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan pihak polis dan bomba.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228