KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan diarahkan untuk membuat kajian bagi mencari langkah segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Matang Baru.
Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini kerana setiap kali hujan lebat jalan tersebut akan digenangi air.
“Saya berpendapat jurutera JKR perlu melihat sendiri keadaan di jalan ini agar langkah segera dapat diambil.
“Ini kerana jalan ini kerap digenangi air apabila berlaku hujan lebat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah banjir kilat yang kerap berlaku di Jalan Matang Baru.
Menurutnya, permohonan untuk membina parit konkrit di jalan tersebut sudah dikemukakan kepada kerajaan, namun belum ada sebarang maklum balas diterima.
“Untuk membina parit konkrit mungkin menelan belanja antara RM10 juta hingga RM20 juta,” ujarnya.
Tambahnya lagi, satu pelan induk juga perlu dirangka yang merangkumi aliran keluar air dan saiz parit sebelum projek terbabit dapat dijalankan.
“Ini disebabkan kita perlu mengambil kira aliran keluar air. Kalau perkara ini tidak diambil kira, mungkin akan memberi kesan kepada kawasan lain,” jelasnya.