
PERIKSA: Mohd Nor (kanan) memeriksa harga telur yang disenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas di Pasar Komuniti Stutong semalam. — Gambar Tan Song Wei
KPDNKK Sarawak beri jaminan tiada masalah kekurangan bekalan barangan terkawal
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak memberi jaminan tiada masalah kekurangan bekalan barangan terkawal pada musim perayaan Krismas.
Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Mohd Nor Musa berkata, jaminan itu hasil pertemuan PPDNKK bersama pembekal di seluruh negeri.
“Kami yakin bekalan barangan terkawal mencukupi dan tiada isu masalah kekurangan bekalan hasil maklumat yang diterima menerusi pertemuan dengan para pembekal di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas dan Majlis Penyampaian Sijil Penarafan di Pasar Komuniti Stutong di sini semalam. Dalam skim itu, sebanyak 13 barangan terkawal diumumkan merangkumi ayam, daging kambing tempatan dan import, ayam Belanda import, telur ayam, tomato dan lada benggala hijau yang berkuat kuasa semalam hingga 27 Disember ini di 32 daerah seluruh Sarawak.
“Kami amat memuji tindakan beberapa peniaga di sini (Pasar Komuniti Stutong) yang meletakkan harga lebih rendah daripada harga maksimum yang kami tetapkan bagi barangan di bawah skim ini,” kata Mohd Nor.
Tambahnya dengan itu pengguna dapat menikmati barangan terkawal pada harga yang lebih murah terutama mereka yang meraikan perayaan Krismas ini.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar mematuhi skim kawalan harga itu sepanjang tempoh yang ditetapkan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, skim itu merupakan skim kawalan harga musim perayaan yang terakhir untuk tahun 2013 di mana sebanyak 11,585 premis telah diperiksa di bawah empat skim kawalan harga yang dilancarkan sebelum ini iaitu pada musim Tahun Baharu Cina, Gawai, Hari Raya dan Deepavali.
“Daripada jumlah ini sebanyak 48 kes melibatkan peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga dan menjual barangan terkawal melebihi harga yang ditetapkan telah dikompaun melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM4,300,” jelasnya.
Sementara itu, seramai 71 peniaga di Pasar Komuniti Stutong menerima sijil penarafan daripada KPDNKK kerana komitmen mereka menjalankan perniagaan dengan baik serta mengurangkan aduan pengguna.
Hadir sama Ketua Bahagian Pelesenan dan Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Zuraida Idris serta Pengerusi Persatuan Perdagangan dan Penjaja Kuching Selatan Tan Choon Yong.