SIBU: Usaha mengekalkan adat dan budaya kaum Iban khususnya di kawasan-kawasan bandar perlu dipergiatkan.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor James Laju Ambok berkata langkah memulihara adat resam dan budaya masyarakat Iban di kawasan bandar sangat perlu sebagai landasan mencerna penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni.
Katanya selain penerapan nilai-nilai murni langkah tersebut dilihat mampu menyumbang ke arah melestarikan usaha kerajaan memperkasa bangsa dan negara melalui kekuatan kebudayaan.
“Sesungguhnya adat resam dan budaya yang diwarisi masyarakat Iban adalah panca warna yang dapat menambat hati setiap individu di seluruh negeri ini.
“Ia tidak dapat dinafikan sebagai contoh semakin ramai masyarakat kaum lain menguasai bahasa Iban,” katanya pada Program Komuniti Belia, Sukan dan Kebudayaan di Sibu Jaya, malam kelmarin.
Menyentuh mengenai penganjuran program komuniti di Sibu Jaya yang memfokuskan penduduk di kawasan kediaman flat, James menjelaskan bahawa ia sangat bertepatan.
Menurut beliau, masih ada penghuni flat tidak mengenali jiran mereka walaupun telah tinggal di situ sejak bertahun-tahun.
Selain itu, program itu diharap dapat mewujudkan masyarakat penyayang yang mementingkan masyarakat daripada diri sendiri.
James berkata, kebajikan insani tidak hanya berkisar kepada negara atau individu tetapi merangkumi sekeliling sistem kekeluargaan.
“Wawasan 2020 yang dilancar kerajaan merupakan matlamat menuju ke arah negara maju mengikut acuan sendiri dengan mengenal pasti agenda sosial perlu diketengahkan seperti yang terkandung dalam tujuh cabaran Wawasan 2020,” jelas beliau.
Hadir sama pengerusi penganjur Kaunselor Pasang Ngelambai.