KUANTAN: Kerajaan negeri semalam mula mengagihkan bantuan RM250 kepada 17,054 keluarga mangsa banjir.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata proses pengagihan dijangka mengambil masa dan meminta semua mangsa bersabar menunggu giliran mereka.
“Banjir kali ini membabitkan ramai mangsa dan sudah pasti proses untuk menyerahkan bantuan ihsan ini mengambil masa. Kita akan cuba mempercepatkan pengagihan dan berharap semua dapat bersabar.
“Kalau dikira dengan jumlah kerugian dialami setiap mangsa, sudah pasti jumlah bantuan ihsan RM250 ini tidak memadai, namun kerajaan negeri akan mencari jalan lain untuk memberikan bantuan tambahan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyempurnakan majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat negeri dan penghargaan kepada sukarelawan di Masjid Al-Mutaqqim, Tanah Putih, dekat sini semalam.
Turut hadir Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abd Azeez Abdul Rahim.
Adnan berkata secara keseluruhan kerajaan negeri menganggarkan banjir yang berlaku awal bulan ini membabitkan kerugian kira-kira RM390 juta.
Dalam pada itu, Azeez yang juga Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) berkata setakat ini pihaknya sudah menyalurkan bantuan berjumlah kira-kira RM4.5 juta kepada mangsa banjir di Pahang.
Katanya bantuan berkenaan sudah dan sedang diagihkan oleh 150 sukarelawan KP1M sejak hari pertama banjir melanda negeri ini.
Sultan Ahmad Shah turut berkenan melepaskan konvoi bantuan KP1M yang akan mengagihkan bantuan ke semua tempat yang terjejas akibat banjir. — Bernama