BEDONG: Seramai 84 sukarelawan kebajikan Kedah menyertai konvoi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Maran, Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata misi itu memilih Kuala Sentul kerana terjejas teruk.
“Saya difahamkan banjir yang melanda kawasan itu menyebabkan kemusnahan teruk rumah penduduk serta banyak peralatan dan perkakas rumah mereka langsung tidak boleh digunakan.
“Kerajaan Kedah di bawah portfolio saya dengan kerjasama pelbagai agensi menyumbangkan 1,000 tilam yang dibawa dalam dua kontena untuk diagihkan kepada penduduk DUN Kuala Sentul,” katanya kepada pemberita sebelum melepaskan konvoi berkenaan di Rumah Seri Kenangan, di sini malam kelmarin.
Suraya yang mengetuai misi itu berkata sukarelawan berkenaan dibawa dengan bas, tiga van dan enam kenderaan pacuan empat roda Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah manakala lima lori lima tan digunakan untuk membawa bantuan seperti pakaian dan barangan keperluan mangsa banjir. — Bernama