SANDAKAN: Seramai sebelas wanita warga Filipina ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas Laut di sebuah rumah atas air di kawasan Kampung Sundang Laut, Batu Sapi di sini kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata kesemua wanita yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis marin kerana tidak mematuhi peraturan memasuki negara ini.
“Mereka memiliki pasport namun tidak mendapat endosmen daripada Jabatan Imigresen; dipercayai datang ke negeri ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
“Mereka didapati tidak memiliki pas lawatan yang sah dan disyaki menyusup masuk ke daerah ini melalui jalan laut kemudian mendarat tidak melalui pintu masuk yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut Mohamad polis marin turut menahan tuan rumah itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun yang disyaki melindungi pendatang tanpa izin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 bagi wanita terbabit dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-duanya dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.
Manakala lelaki yang melindungi warga asing pula, akan disiasat mengikut Seksyen 55(e) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis. — Bernama