Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Rakyat sudah muak dengan demonstrasi: Abdul Karim

$
0
0

KUCHING: Pihak yang didakwa akan menganjurkan perhimpunan menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember ini di Kuala Lumpur dilihat cuba mengambil kesempatan daripada orang ramai yang meraikan ambang Tahun Baharu 2014.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang berkata demikian menambah, tindakan itu adalah bertentangan dengan undang-undang kerana kerajaan telah dipilih rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Harap sesiapa yang berniat ambil kesempatan dengan ramainya pengunjung hari ambang tahun baharu untuk mengadakan demonstrasi berfikir dua kali.

“Rakyat sudah muak dengan demonstrasi yang tidak putus-putus dan berharap polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menganjur,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi, kebebasan berhimpun dan bersuara tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Kita mesti ingat sekiranya tindakan kita menyebabkan kesulitan kepada rakyat dari segi kesesakan lalu lintas dan juga ruang untuk mereka keluar berkeluarga menyambut ambang tahun baharu, apa yang kita lakukan itu adalah salah dan mencabul hak kebebasan orang lain,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis kini mencari seorang lelaki berhubung dakwaan penganjuran himpunan itu.

Wajah lelaki itu dipaparkan dalam satu poster yang menyeru semua rakyat Malaysia menyertai Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka pada tarikh berkenaan.

Khalid berkata, polis perlu menyiasat dakwaan penganjuran himpunan itu sama ada benar atau sebaliknya.

Sementara itu, sebuah portal berita menyiarkan artikel bahawa penganjur berasingan akan mengadakan perhimpunan bagi membantah kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar dipetik menerusi portal itu berkata, ia bertujuan mendesak kerajaan agar mendengar kemarahan rakyat ekoran kos sara hidup yang kian meningkat susulan kenaikan beberapa harga barang dan perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun berkata, TURUN tidak ada berkaitan dengan dakwaan perhimpunan menggulingkan kerajaan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>