
PRIHATIN: Abdullah menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran Kampung Penipah, Nilam. Turut kelihatan, Norhayati (lima kiri) dari Skuad Sayang Wanita PBB.
DARO: Bunyi bising kucing bertengkar menyelamatkan empat sekeluarga yang sedang lena daripada rentung dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Penipah dekat sini, malam kelmarin.
Ketika kejadian pada kira-kira jam 10 malam, Nilam Median bersama seorang menantu wanita dan dua cucunya baharu tidur dan seorang daripada mereka terasa bahang dari bawah rumah kayu itu.
Sumber memberitahu, bagaimanapun mereka tidak mengendahkannya.
Api mula merebak dari bawah rumah dipercayai berpunca daripada peti sejuk tempat menyimpan ikan, lantas membakar bahagian lantai rumah tersebut.
“Pada masa itu juga, adik Nilam dikenali sebagai Jay yang tinggal di rumah sebelah selang kira-kira 50 meter terdengar bunyi bising beberapa ekor kucing berkelahi di bawah rumah mangsa.
“Ketika menjenguk keluar, Jay ternampak api mula merebak dari bahagian bawah rumah tempat letaknya peti sejuk,” kata sumber.
Tanpa berlengah, beliau meluru ke rumah kakaknya untuk mengejutkan mereka dari tidur. Beliau mengambil keputusan menendang pintu rumah apabila teriakan mengejutkan mereka berempat gagal.
Namun, dalam beberapa minit kemudian, rumah terbabit ranap dan mereka sekeluarga serta jiran-jiran sekadar mampu melihat api merebak dengan pantas.
Meskipun mereka berempat selamat, tindakan pantas Jay bagaimanapun gagal menyelamatkan wang tunai dan barang kemas.
Suami Nilam, Taharnidin Kamal bersama dua lagi anak lelakinya ketika itu berada di laut menangkap ikan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol bergegas dari Kuching melawat mangsa semalam dan menyampaikan bantuan peribadi berupa wang tunai kepada mangsa.
Menurut Abdullah, Pegawai Daerah Daro yang menyertai lawatan itu telah menguruskan bantuan awal yang diperlukan mangsa.
Skuad Sayang Wanita PBB mewakili isteri ADUN, NoraAshikin Ibrahim, diketuai Ketua Wanita Wanita PBB Kampung Penipah Norhayati Jeli pula menyampaikan sumbangan pakaian kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Pertubuhan Graduan Pulau Bruit (PGPB) melancarkan tabung bantuan bencana untuk memudahkan penderma menyalurkan sumbangan bagi meringankan bebanan mangsa menghadapi Ramadan.
Pengerusinya, Taib Kipli dalam laman Facebooknya berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh menyalurkannya ke Akaun Bencana PGPB menerusi Kuwait Finance House di 007-105-001780.