
INISIATIF BERMAKNA: Mostafa (dua kiri) membaca ayat suci al-Quran yang menyebabkan rakan senasib dari Palestin, Imam Dirar Al Masrie Khalid, 45, (dua kanan) sebak didampingi Izwan (kiri) dan Zainizam (kanan) di pejabat APSAR semalam.
KUCHING: Aman Palestin Cawangan Sarawak (APSAR) menyeru bantuan daripada rakyat Sarawak yang pemurah untuk mangsa perang Palestin melalui program Ramadan Bersama Palestin.
Pengurusnya, Zainizam Zawawi berkata hampir setahun sejak tentera Zionis Israel menyerang Palestin pada bulan Ramadan tahun lepas.
“Pada ketika ini, Israel masih lagi di Gaza walaupun warga Palestin hampir menyambut bulan Ramadan. Mereka telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke bumi Gaza.
“Sehubungan itu, kempen Ramadan Bersama Palestin telah dilancarkan di seluruh negara dengan menyasarkan kutipan sebanyak RM30 juta.
“Bagaimanapun, pihak kami telah meletakkan sasaran kutipan sebanyak 1 juta untuk Sarawak berbanding RM650,000 yang disumbangkan oleh rakyat Sarawak pada tahun lepas,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Ramadan Bersama Palestin di pejabatnya di Satok, semalam.
Kesemua sumbangan, jelasnya, akan disalurkan kepada seluruh penduduk Islam di Palestin sama ada di Baitulmaqdis, Gaza mahupun di kem-kem Syria, Jordan dan sebagainya.
Terdapat kelainan yang dibawa APSAR dengan menjemput dua imam warga Palestin dari kem pelarian di Syria.
“Mereka terpaksa melarikan diri dan membawa keluarga disebabkan kekejaman zionis dan sekarang ini sedang menghadapi bencana perang di Syria itu sendiri.
“Kedua-dua imam menjadi pelarian dan mangsa perang, kediaman mereka dimusnah dan terpaksa lari untuk menyelamatkan diri bersama keluarga mereka.
“Justeru, dengan kehadiran dua imam ini, mereka akan berkongsi peristiwa perang dan apa yang berlaku di sana untuk dijadikan satu pengajaran kepada kita umat Islam agar menghargai nikmat kemerdekaan dan keamanan negara kita,” katanya.
Pihak APSAR akan bekerjasama dengan kerajaan, sekolah dan masjid untuk menjalankan pelbagai program bersama kedua-dua imam Palestin itu.
Terdapat 50 lokasi akan dilawati APSAR bersama dua imam itu bermula di Kuching hingga Lawas bagi menyampaikan kesedaran kepada umat Islam dan masyarakat di Sarawak.
Pihaknya turut membuka peluang kepada jabatan dan agensi kerajaan atau swasta untuk menjemput kedua-dua iImam Palestin dengan menghubungi pihak Aman Palestin menerusi talian 082-231026.
Tegas Zainizam, sumbangan Ramadan telah ditetapkan mengikut pakej seperti berikut: RM50 untuk sijil wakaf Palestin, RM100 untuk duit raya, RM200 untuk imarah masjid Al-Aqsa serta RM300 untuk sahur dan berbuka puasa.
“Mudahan-mudahan mendapat pahala daripada puasa mereka dan diharap rakyat Sarawak bersatu hati dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang berada di dalam kepungan dan kemiskinan.
“Pihaknya juga berharap, rakyat Islam di Sarawak membantu menggembirakan saudara seislam selain pembebasan rakyat Palestin agar merdeka dan semua rakyat Islam di Sarawak mendapat pahala besar daripadanya,” katanya.
Sementara itu, APSAR menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Nubex Sdn Bhd dan para penyumbang akan mendapat alternatif lain untuk memberi sumbangan kepada Palestin melalui pembelian matawang dinar.
Beliau turut menasihati agar orang ramai agar berhati-hati ketika membuat sumbangan agar tidak lalai atau tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sumbangan boleh disumbangkan terus melalui tunai atau pemindahan wang ke akaun Aman Palestin atau cek atas nama Aman Palestin Berhad: Bank Islam 12029010047880, Maybank Malaysia Berhad 562263010787, Bank Muamalat Malaysia Berhad 12070005133717, RHB Bank 21245760004907, CIMB Islamic 8600460353 atau Bank Rakyat 220806195922.
Juga boleh datang terus ke pejabatnya pada waktu pejabat Isnin hingga Jumaat beralamat di Lot 383, Seksyen 5, Tingkat 1 KTLD, Wisma Polarwood, Jalan Satok dan sumbangan layak mendapat pelepasan cukai (8.09) 248/40/7-1338 vol (SK.2) (13).
Bacaan ayat-ayat suci al-Quran turut diperdengarkan oleh Imam Mostafa Ibrahem Al-Sheikh Yosuf.
Turut hadir penterjemah bahasa dari Universiti Malaya di ibu negara Mohd Izwan Mohd Ali.