MUKAH: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah melahirkan 49 pelajar cemerlang dengan mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil daripada 108 pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selepas keputusan diumumkan semalam.
Timbalan Pengetua (HEA) MRSM Abu Zaki Ahmad Affandi berkata, pada tahun ini MRSM telah mencatat peningkatan dari segi jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran iaitu 49 orang berbanding 33 orang tahun lepas
Bagaimanapun katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini menurun sedikit berbanding tahun lepas dan peratusan yang mendapat A pada tahun ini ialah 45.37 peratus.
“Pada tahun ini kami berasa sedikit kecewa dengan keputusan yang sedikit menurun berbanding tahun lepas namun jumlah pelajar yang mendapat A meningkat.
“Bagaimanapun, kami akan teruskan usaha untuk memperbaiki kesilapan tersebut dan berharap pencapaian pada masa akan datang mencapai sasaran serta cemerlang,” katanya.
Selain itu, pada tahun ini mata pelajaran Matematik mengekalkan peratusan kelulusan 100 peratus manakala mata pelajaran lain terdapat penurunan dan peningkatan.
Abu berkata lagi, pada tahun ini seramai 14 pelajar perlu membuat rayuan untuk menempatkan diri mereka ke tingkatan empat tahun depan.