KUCHING: Sempena sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) kini melancarkan Bufet ‘Isthmus Christmas in the Garden’, malam kelmarin.
Dengan nyalaan lampu berwarna-warni pada pokok Krismas setinggi 15 meter, pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Pengarah Operasi BCCK Eric Van Piggelen.
Menurut Eric, beliau berasa amat teruja untuk mengalu-alukan orang ramai yang berhasrat untuk menjamu selera dengan hidangan terbaik yang disediakan oleh restoran The Raintree sepanjang promosi Krismas bermula 23 hingga 28 Disember ini.
“Orang ramai dialu-alukan untuk datang dan menikmati sajian hidangan kami yang ternyata akan memuaskan hati.
“Selain itu, pelanggan turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di sini,” katanya.
The Raintree turut melanjutkan menu hidangan mereka bersesuaian dengan keperluan Krismas yang menjadi impian setiap pelanggan.
Hidangan makan malam Pra-Krismas pada harga eksklusif RM80++ bermula pada 23 Disember manakala makan malam bufet perayaan Krismas pada 24 Disember pula bermula dari harga RM90++ seorang.
Pada 25 Disember, restoran juga akan menyajikan ‘Christmas Day Brunch’ pada harga RM65++ seorang dan RM80++ seorang untuk makan malam Hari Krismas.
Bagi memeriahkan lagi makan malam Krismas di restoran The Raintree, BCCK turut menawarkan makan malam bufet perayaan pada harga RM80++ seorang dari 26 hingga 28 Disember.
Manakala kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun pula akan menikmati potongan harga sebanyak 50 peratus untuk kesemua hidangan bufet yang disediakan di restoran itu.
“Krismas merupakan hari yang paling sesuai untuk seisi keluarga dan sahabat handai membuat amal.
“Pelanggan yang datang menikmati hidangan di sini akan menyumbang RM5 melalui Bufet ‘Isthmus Christmas in the Garden’ kepada Rumah Cheshire Sarawak,” kata Eric.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau tempahan, orang ramai bolehlah menghubungi BCCK di talian 082-392988 atau layari laman Facebook di alamat www.facebook.com/BCCK.Sarawak.