Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

12 premis makanan tidak patuh PPKM 2009 diarah tutup

$
0
0

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri mengeluar kompaun bernilai lebih dari RM10,000 selain mengarahkan penutupan sebanyak 12 premis makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) dari tempoh Januari hingga April 2015 di seluruh Sarawak.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, David Lau Chien Loung berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 2,579 premis makanan diperiksa dan 80 notis kesalahan dan tawaran kompaun telah dikeluarkan.

Jelasnya, berbanding rekod dicatat sepanjang tahun lalu, kutipan jumlah nilai bayaran kompaun sebanyak RM5,700 selain mengarah penutupan 76 daripada 6,521 premis makanan yang diperiksa termasuk 65 notis kesalahan termasuk tawaran kompaun dikeluarkan.

Katanya, peniaga atau pengusaha premis makanan dikenakan denda serta kompaun kerana didapati mengingkari perundangan keselamatan makanan yang ditetap jabatan.

“Jabatan Kesihatan giat memantau dan menjalan aktiviti pemeriksaan dalam melaksanakan perundangan berhubung keselamatan makanan di premis makanan di seluruh negeri ini.

“Bukan sahaja memeriksa, premis makanan didapati tidak mencapai prosedur operasi standard (SOP) dan dikesan melanggar peraturan akan diarah melakukan pembersihan atau menutup premis makanan sementara ia dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mini Karnival Keselamatan Makanan (Zon Selatan) 2015 di Pusat Beli belah The Hills, di sini, semalam.

Katanya, setiap tindakan diambil oleh jabatan adalah bagi memastikan pengusaha premis sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan terutama di bahagian pemprosesan, dapur dan stor penyimpanan makanan bagi mengelak dari berlakunya jangkitan bakteria seperti kencing tikus atau ‘leptospirosis’.

Malah, jelasnya jangkitan wabak makanan atau minuman boleh berlaku tanpa disedari.

“Sekiranya pengusaha premis atau pengguna mengambil langkah sambil lewa, ia boleh memudarat atau menyebabkan berlakunya kematian.

“Amat pentingnya seliaan dan pantauan yang dimain agensi kerajaan dalam pelaksanaan perundangan dan amalan serta tanggungjawab pemain industri makanan terhadap penghasilan makanan selamat,” katanya.

Jelasnya, pada masa sama, sebagai pengguna, kita harus prihatin dan menuntut hak pengguna terutama dalam aspek pemilihan premis makanan.

“Selain pilihan premis makanan menyediakan makanan sedap dimakan, lebih penting lagi memilih premis yang bersih serta pengendali makanan yang beramalan baik,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr Azizah Azhar.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles