LIMBANG: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian terus memberi perhatian serius terhadap kaedah menjaga keselamatan komuniti menerusi pelancaran ‘Kempen 10 Keluarga 1 Peronda’ Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini.
Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang, Mohd Fakri Asmad berkata kempen itu satu kaedah terbaik bagi menambahkan bilangan peronda yang sedia ada supaya bersama-sama mengemblengkan tenaga dalam menjaga keselamatan komuniti.
Menurutnya, kaedah itu diperkenalkan di beberapa kawasan SRS terpilih dan amat berkesaan untuk kesejahteraan komuniti.
“Kempen ini perlu dilaksanakan bagi menggerakkan anggota SRS di peringkat Rukun Tetangga supaya berjumpa dengan komuniti setempat dan menarik mereka supaya bersama-sama menjadi anggota SRS,” katanya di sini semalam.
Mohd Fakri berkata, tahap keselamatan amat penting dan terjamin dengan adanya SRS yang melakukan tugas rondaan di kawasan masing-masing.
Menurutnya, penubuhan KRT di daerah ini penting membantu menangani kes jenayah di peringkat akar umbi.
Beliau memberitahu, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah telah melancarkan Kempen 10 Keluarga 1 Peronda SRS bagi JPNIN Limbang di KRT RPR Limbang.
Hadir pada perasmian program itu ialah wakil Ketua Polis Daerah Limbang yang juga Ketua Balai Polis Limbang Inspektor Frankie George, Pengerusi KRT RPR Limbang, Awangku Wahab Pengiran Matusin dan Ketua Kampung RPR Limbang, Pangis Donglah serta seluruh SRS di sini.
Pelbagai aktiviti diadakan melibatkan Sesi Taklimat Keselamatan PDRM Limbang, penyampaian peralatan rondaan bagi SRS baharu ditubuhkan iaitu SRS Taman Batu Biah/Hen Yii dan rondaan SRS bersama PDRM dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).