Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Misteri kehilangan warga Myanmar terjawab

$
0
0

DIJUMPAI: Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lopeng sedang mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke darat dan dihantar ke Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat.

Mayat mangsa bekerja sebagai mekanik itu ditemui terapung di Sungai Baram, semalam
MIRI: Misteri kehilangan seorang mekanik warga asing yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Baram di sini, pagi semalam.

Mayat Zin Min Htun, 22, yang berasal dari Myanmar dijumpai sekitar jam 8 pagi oleh beberapa rakan sekerja yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Ketika ditemui, mayat mangsa yang hanya memakai seluar pendek berwarna hitam dilihat terapung di celah-celah kayu hanyut berhampiran sebuah tongkang yang berlabuh di tepi sungai berkenaan, iaitu kira-kira dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

Menurut juragan bot, Lihan Anyi, 51, dari Long Teran Kiri, Tinjar, Baram, pada pagi semalam, seorang penyelia di syarikat tempatnya bekerja ada meminta bantuan beliau dan beberapa rakan sekerja yang lain supaya mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak pagi Isnin lalu.

Sejurus itu, beliau bersama seorang rakan terus meronda di sekitar kawasan tebing Sungai Baram dengan menaiki sebuah bot kecil dan setelah kira-kira lima minit meronda, mereka tiba-tiba ternampak bahagian kepala manusia terapung di celah-celah kayu hanyut berhampiran sebuah tongkang yang berlabuh.

“Setelah diamati, objek itu memang kepala manusia dengan muka mendongak.

Oleh kerana takut memegangnya, kami berdua patah semula ke pelabuhan untuk memaklumkan penemuan tersebut kepada penyelia terbabit.

“Selepas itu, kami berdua pergi semula ke tempat mayat ditemui bersama dua lagi rakan dan kami telah mengikat bahagian kepala mangsa pada batang kayu untuk mengelakkannya daripada terus dihanyutkan arus deras sementara menunggu ketibaan pihak polis dan bomba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Lihan, meskipun beliau dan mangsa bekerja di syarikat yang sama, namun dia tidak mengenali mangsa kerana baharu seminggu lebih bekerja di sana.

Tambahan, dia bertugas di laut sebagai juragan bot manakala mangsa sebagai mekanik di darat.

Dalam pada itu menurut penyelia di syarikat terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Chiew, 52, pada pagi Isnin lalu, dia ada meminta mangsa mengambil spanar yang disimpan dalam kapal yang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran untuk digunakan membaiki jentera yang rosak di bengkel.

“Selepas disuruh mengambil spanar dalam kapal, dia (mangsa) terus tidak balik. Saya ingat dia melarikan diri namun sehingga keesokan hari dia tetap tidak muncul.

“Justeru saya telah membuat laporan polis pada pagi Selasa lalu untuk melaporkan kehilangannya,” ujar beliau.

Menurut Chiew, mangsa baharu dua minggu bekerja di syarikat tersebut.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng terpaksa menggunakan bot untuk pergi ke lokasi mayat mangsa ditemui.

Mayat mangsa kemudian ditarik ke tebing sebelum dinaikkan ke darat dan dihantar ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>