KUCHING: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Sungai Sarawak di belakang Masjid Bahagian Kuching petang semalam.
Difahamkan, mayat tersebut yang belum dikenal pasti identitinya telah ditemui beberapa pekerja di tapak pembinaan berdekatan tempat kejadian iaitu sekitar jam 2.45 petang.
Beberapa anggota dan pengawai dari Balai Polis Sentral dan Gita bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan untuk memeriksa mayat lelaki berkenaan yang lengkap berpakaian.
Turut ditemui pada mayat tersebut ialah bungkusan kecil plastik hitam yang dipercayai mengandungi gam.
Mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tujuan bedah siasat.
Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.