
OKU CONTOH: Hayati (tengah) menyerahkan plak geran SBGP-OKU dan cenderamata JTK kepada Donny Jeranding (kiri) yang mengendalikan Blind Massage Professional Center di Miri semalam.
SBGP-OKU bertujuan mentransformasi usahawan OKU agar sentiasa berdaya saing, mampu berdikari
KUCHING:Kerajaan mahu lebih ramai golongan Orang Kurangn Upaya (OKU) memohon Skim Bantuan Galakan Perniagaan-OKU (SBGPOKU) yang diperkenalkan sejak 2007 dalam usaha membantu golongan itu dalam pasaran kerja.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Hayati Narayan, SBGP-OKU bertujuan mentransformasikan usahawan OKU agar sentiasa berdaya saing dan mampu berdikari serta membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai OKU.
“Skim ini telah diamanahkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan JTK sebagai strategi kerajaan membantu usahawan OKU seterusnya membantu OKU lain mendapatkan pekerjaan melalui pengembangan dalam perniagaan mereka.
“Di bawah skim itu juga, usahawan OKU dibantu dari segi pembelian peralatan perniagaan dan pemasaran perniagaan serta mengubah suai premis perniagaan bagi tujuan pengembangan perniagaan, ter takluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Program JTK Sarawak Bersama Penerima Geran SBGP-OKU di sini semalam.
Projek itu merupakan rancangan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK- 9) sehingga RMK-10 yang berakhir pada 2015.
Jelas Hayati, skim terbabit mendapat sambutan baik di kalangan usahawan OKU dan pada tahun 2013 Kementerian telah meluluskan permohonan geran kepada 78 usahawan OKU dengan peruntukan sebanyak RM1,998,313.58 di seluruh negara.
Bagaimanapun, di Sarawak bermula 2007 hingga Oktober 2013, seramai 22 usahawan OKU telah mendapat manfaat daripada skim terbabit dengan jumlah RM766,184 telah diperuntukkan.
“Sehingga kini sebanyak 17 perniagaan masih wujud dan berkembang manakala lima perniagaan telah ditutup.
“Perniagaan ditutup atas alasan sama ada mengalami masalah kesihatan, tidak dapat dikesan atau tidak dapat meneruskan perniagaan (rugi) dan bilangan OKU yang masih bek erja adalah 27 orang,” jelasnya.
Di Sarawak dua usahawan yang telah berjaya dan menjadi pilihan JTK ialah Donny Jeranding, 33 yang mengendalikan Blind Massage Professional Center, Miri mendapat jumlah purata pendapatan RM6,800 sebulan.
Manakala Medam Duber, 42, mengendalikan syarikat alat ganti badan, Motion Prosthetic Orthotic Centre, Sematan mendapat purata keuntungan RM5,000 sebulan.
Semalam menyaksikan empat penerima geran skim SBGP-OKU iaitu TN Massage Center sebanyak RM6,394, Motion Prosthetic Center (RM26,602), Mei Kwang Unisex Fashion & Hair Saloon (RM43,720) dan Kedai Runcit Duin (RM24,000) dengan jumlah keseluruhan RM100,716.
Sebelum ini, TN Massage Center mendapat RM35,000 (2009), Motion Prosthetic Center RM30,000 (2011), Mei Kwang Unisex Fashion & Hair Saloon RM35,000 (2009).
Penerima lain plak geran SBGP-OKU dan cenderamata adalah Lim Ngiang Chuang, Tazlan Jen, Rohana Sinis Abdullah, Stanley Choo Foong Ku, Gordon Chian Tatt Foong, Jimmy Siang dan Duin Kuni.
Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk membantu golongan OKU ditempatkan dalam pasaran buruh.
Dari 1990 hingga November 2013 seramai 13,375 OKU didaftar dan 8,948 OKU berjaya ditempatkan di seluruh Malaysia.
Cara konvensional terdahulu yang diperkenalkan JTK adalah melalui pendaftaran dan carian kerja atas talian www.jobsmalaysia.gov.my.
Menurutnya, Portal JobsMalaysia itu merupakan hab pekerjaan untuk majikan sektor awam dan swasta menawarkan peluang pekerjaan.
“Sejak 1990 hingga November 2013 seramai 348 pencari kerja OKU telah didaftarkan dan 63 OKU telah ditempatkan,” katanya.
JTK Sarawak turut menganjurkan karnival kerjaya, pameran serta khidmat nasihat bimbingan kerjaya kepada yang memerlukan.
Turut hadir Pengarah PERKESO John Riba dan Pengarah Standard Perburuhan JTKSM Jack Marudu.