KUCHING: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian dada dan perutnya selepas diserang oleh abangnya yang dipercayai ketagihan dadah di Kampung Bintawa Ulu, semalam.
Mangsa berusia 36 tahun itu semasa kejadian sedang berehat di rumahnya selepas makan tengah hari apabila suspek yang berusia 38 tahun masuk ke rumanya dan terus menyerangnya dengan sabit sekitar jam 2 petang semalam.
Isteri mangsa bersama lima anak mereka segera meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat lebih selamat sebelum dia kembali dan melihat suaminya terlantar di atas lantai.
Dia kemudian menjerit meminta bantuan daripada penduduk kampung yang terus menghubungi pihak polis.
Mangsa yang tercedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan dan sehingga berita ini ditulis semalam, dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menurut sumber, suspek yang kini dalam tahanan pihak polis merupakan seorang penagih dadah.