KUCHING: Sebuah kereta jenis Toyota Corolla milik seorang jurujual ditemui semula di Kampung Tabuan Melayu di sini kurang dari 24 jam kereta tersebut dilaporkan hilang, pagi semalam.
Difahamkan, kereta tersebut ditemui dalam keadaan tidak bertayar serta pelbagai komponennya hilang di satu kawasan lapang di kampung tersebut oleh penduduk kampung sekitar jam 8 pagi semalam.
“Jurujual berusia 20-an itu dikatakan menerima satu pangilan telefon daripada orang awam yang menemui kad namanya di dalam kereta memberitahu kereta itu telah ditemui di kampung tersebut.
“Dia yang diiringi beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan terkejut apabila melihat keretanya itu tidak lagi bertayar serta beberapa komponennya juga telah hilang,” kata sumber.
Kereta tersebut kemudian dibawa ke balai polis terdekat untuk siasatan lanjut.
Bapa kepada jurujual tersebut semasa ditemui pemberita memberitahu kereta tersebut hilang ketika diletakkan di hadapan bangunan kedai di Yoshi Square, Pending di sini sekitar jam 1 pagi.
“Kami mendengar enjin kereta dihidupkan tetapi apabila kami keluar untuk memeriksa, kereta itu telah dilarikan diekori sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Kami kemudian cuba mengejar mereka tetapi tidak berjaya kerana mereka bergerak dengan laju menyebabkan kami terus ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenainya,” katanya.
Menurutnya lagi, insiden seumpama itu merupakan kali ketiga menimpa mereka sekeluarga sepanjang mereka menetap di situ.
Justeru, dia memohon agar pihak polis lebih kerap meronda di kawasan berkenaan.