Menyumbang lebih RM400 juta kepada pendapatan negeri pada tahun 2012, kata Masing
KUCHING: Industri sawit muncul sebagai sumber pendapatan utama Sarawak apabila menyumbang lebih RM400 juta kepada pendapatan negeri pada tahun 2012.
Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, setakat 30 Jun 2013, industri sawit Sarawak menjana hasil eksport berjumlah RM40.1 bilion sejak tahun 2007.
“Kerajaan negeri juga telah memperoleh RM2.16 bilion daripada cukai jualan kelapa sawit sejak 2002,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan untuk kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Manakala dari segi sumbangan industri berkenaan kepada pekebun-pekebun kecil, katanya, kira-kira 17,578 pekebun kecil berdaftar telah membangunkan kira-kira 90,000 hektar tanah dengan tanaman itu.
Beliau berkata, purata 16 tan tandan buah segar (FFB) berjaya dikumpul dari setiap satu hektar dengan harga purata RM458 satu tan FFB yang menyaksikan setiap pekebun kecil memperolehi kira-kira RM1,000 sebulan jika mengusahakan tanah seluas empat hektar.
Sementara itu, katanya, dianggarkan RM17.5 bilion telah disuntik untuk membangunkan 1.19 juta hektar ladang sawit di seluruh negeri dan RM4.42 bilion lagi dilabur untuk 63 kilang memproses sawit dan enam loji penapisan minyak sawit sudah beroperasi ketika ini.
“Sehingga 30 Jun 2013, seluas kira-kira 1.2 juta hektar kawasan telah ditaman dengan kelapa sawit dengan 63 kilang memproses minyak kelapa sawit beroperasi ketika ini berkapasiti 14.97 juta tan FFB.
“Manakala, 13 lagi permohonan untuk membina kilang pemprosesan minyak sawit baharu dengan kapasiti pemprosesan keseluruhan 2.93 juta tan FFB telah diluluskan yang ketika ini di pelbagai peringkat pembangunan,” jelasnya.
Mengenai harga minyak sawit mentah (CPO), Masing berkata berdasarkan ramalan beberapa analisis industri berkaitan, harga CPO satu tan ialah antara RM1,950 dan RM3,200.
Berdasarkan Purata Kebangsaan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), katanya, harga CPO ialah sekitar RM2,221 satu tan pada Januari 2013, meningkat kepada RM2,327 satu tan pada Oktober 2013.
Menurutnya, antara faktor utama mempengaruhi harga CPO sepanjang 10 bulan tahun ini ialah krisis kewangan zon Eropah, kelembapan umum ekonomi global dan kebimbangan berterusan terhadap tahap inventori sawit domestik.
Bagaimanapun, katanya, analisis pasaran meramalkan harga CPO akan kembali kukuh tahun depan pada purata RM2,500 hingga RM2,800 satu tan dan ramalan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor.
Beliau berkata, antara faktor yang kembali memperkukuhkan harga CPO pada tahun depan ialah ekonomi Amerika Syarikat (AS) diramal pulih dengan pertumbuhan sekitar 2.3 peratus.
Selain itu, katanya, pertumbuhan positif ekonomi zon Eropah dan China diyakini dapat meningkatkan permintaan terhadap sawit.
“Keadaan cuaca tidak menentu yang boleh menyebabkan gangguan bekalan seterusnya meningkatkan harga minyak boleh dimakan termasuk minyak kelapa sawit.
“Selain itu, kedudukan ringgit yang lemah hingga 2014 akan meningkatkan permintaan daripada pembelipembeli asing kerana mereka tidak perlu membayar lebih untuk mendapatkan minyak kelapa sawit,” jelasnya.
Sementara itu, Masing berkata sektor perladangan di negeri ini masih berdepan masalah tenaga kerja akibat persaingan sengit daripada sektor yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Selain itu, katanya, usaha mendapatkan tenaga kerja asing terutama dari Indonesia semakin sukar kerana pembangunan pesat industri sawit di negara itu.
Justeru, ujarnya, bagi mengatasikan masalah itu, kerajaan negeri telah berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mencari jalan bagi mendapatkan sumber tenaga manusia dari Bangladesh.
“Bagaimanapun masih wujud isu-isu perundangan dan teknikal yang perlu diselesaikan sebelum Sarawak boleh mengambil pekerja-pekerja ini di bawah penyusunan antara kerajaan (G to G).
“Pengambilan percubaan pekerja Bangladesh sudah dilakukan di Semenanjung Malaysia, bagaimanapun kerajaan negeri mahu memastikan proses pengrekrutan berjalan lancar dan bebas daripada sebarang halangan sebelum penyusunan G to G diadaptasi,” ujarnya.