Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Penumpang pesawat Twin Otter lalui detik cemas

$
0
0

TERSANGKUT: Pesawat Twin Otter milik MASwings yang mendarat di lapangan terbang kecil Bario tersangkut, selepas salah satu tayarnya terkeluar dari landasan dan terbenam ke tanah.

Salah satu tayar terkeluar dari landasan lalu terbenam dalam tanah selepas mendarat

MIRI: Sebuah pesawat Twin Otter milik MASwings yang mendarat di Lapangan Terbang Bario pagi semalam, melalui detik cemas apabila salah satu daripada tayarnya terkeluar dari landasan lalu terbenam dalam tanah, selepas beberapa ketika ia melakukan pendaratan.

Pesawat MH3434 yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 8.50 pagi dan membawa bersama 12 penumpang termasuk juruterbang, pada mulanya mendarat dengan selamat di lapangan terbang kecil Bario pada jam 9.30 pagi.

Bagaimanapun semasa ia sedang berpusing untuk menuju ke arah terminal, tiba-tiba salah satu daripada tayarnya terkeluar dari landasan sebelum ia terbenam ke tanah di sebelah landasan tersebut, menyebabkan ia kemudian terus tersangkut di situ.

Kesemua penumpang pesawat terselamat dan tiada yang tercedera, bagaimanapun penerbangan balik pesawat berkenaan dari Bario ke Miri yang dijadualkan pada sebelah petang semalam terpaksa ditangguhkan.

Menurut seorang penduduk kampung dari Bario yang menghubungi Utusan Borneo semalam, pesawat berkenaan berjaya ditarik keluar dari tanah, tempat ia tersangkut pada jam 11.25 pagi.

Dalam pada itu Utusan Borneo difahamkan, MASwings turut menghantar seorang juruteranya dari Miri ke Bario bagi memeriksa keadaan pesawat dan masalah yang timbul daripada insiden tersebut dan bagi memastikan keadaan pesawat sama ada ia selamat untuk meneruskan semula penerbangannya ke Miri.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian, ketika dihubungi untuk mendapatkan komen beliau semalam, berkata jika pesawat tersebut adalah pesawat lama, maka pihak terbabit perlu menggantikannya dengan segera, sebelum ada perkara tidak diingini berlaku.

Malah Baru turut mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang yang lebih besar untuk Bario dan Ba’Kelalan, bagi menampung keperluan yang semakin bertambah dan memerlukan pesawat lebih besar.

“Dalam ucapan saya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu, saya turut membangkitkan isu berkenaan dan saya turut meminta supaya Lapangan Terbang Long Semadoh dibuka semula atau membina lapangan terbang baharu yang lebih selesa dan besar daripada yang sedia ada,” katanya.

Menurut Baru, jika kerajaan tidak mahu membina lapangan terbang maka sebatang jalan raya yang lebih baik perlu dibina menuju ke kawasan berkenaan tanpa perlu ditangguhkan lagi.

“Kita juga mahu jalan raya yang lebih baik dan bukan seperti jalan raya yang dibina dan dilaksanakan oleh pihak tentera di bawah Projek Jiwa Murni,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>