KUCHING: Ops Cantas, selain pengenalan Akta Pencegahan Jenayah 2013 dipercayai memainkan peranan signifikan dalam corak penurunan kadar jenayah di Sarawak daripada 10,337 kes tahun lepas kepada 7,555 kes tahun ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, sejak polis Sarawak melancarkan Ops Cantas di seluruh negeri pada 17 Ogos lalu, sebanyak 46,748 pemeriksaan dan pencarian telah dilakukan.
Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 340 orang telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan.
Katanya lagi, Ops Cantas menyaksikan sebanyak 17,081 motosikal diperiksa di seluruh Sarawak, kereta (17,599) dan lain-lain (4,908) menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan diperiksa 35,588.
“Ops Cantas yang dijalankan di seluruh negara termasuk di Sarawak berkemungkinan menyumbang kepada corak penurunan jenayah selain pengenalan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 2013 yang dapat membanteras aktiviti jenayah di negeri ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN, semalam.
Menyentuh isu kecurian kereta di Sarawak, Adenan memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memperluaskan lagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan panas yang mendapat sokongan serta perakuan daripada polis Sarawak.
Selain pemasangan CCTV katanya, polis Sarawak akan memperhebatkan rondaan cegah jenayah, rondaan Unit Peronda (MPV), sekatan jalan raya, mempertingkatkan risikan jenayah dan rondaan bersama jabatan/agensi berkaitan di kawasan kerap berlaku jenayah.