Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

1,020 permohonan di bawah Skim Pinjaman Rumah Panjang diluluskan

$
0
0

KUCHING: Kementerian Perumahan telah meluluskan pinjaman kepada 1,020 pemohon di bawah Skim Pinjaman Rumah Panjang daripada 40 rumah panjang melibatkan perbelanjaan RM10.2 juta pada 2013.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata setiap pinjaman berjumlah RM10,000 maksimum untuk sepintu bagi kerja bina baharu, bina semula atau baik pulih rumah panjang.

“Kementerian saya telah mengemukakan permohonan sebanyak RM10 juta setahun kepada kerajaan persekutuan di bawah Program Pembiayaan Golongan Berpendapatan Rendah untuk meneruskan usaha ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Perumahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Menurut beliau beberapa sesi dialog dan penerangan mengenai Skim Pinjaman Rumah Panjang diadakan melibatkan rumah-rumah panjang di kawasan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

Sementara itu katanya, Kementerian Perumahan telah meluluskan pinjaman di bawah  skim berkenaan kepada 72 rumah panjang di bahagian Sibu yang merangkumi 1,592 pintu dengan jumlah perbelanjaan RM11.7 juta.

Kebanyakan rumah panjang yang telah diluluskan tersebut adalah dalam kawasan Dudong.

“Untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat dari Dudong, kita juga memberi keutamaan untuk kelulusan pinjaman kepada para pemohon yang mengalami kebakaran rumah panjang.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat meluluskan kesemua permohonan yang diterima dari Dudong kerana pihak Kementerian turut menerima banyak lagi permohonan untuk pinjaman rumah panjang dari kawasan-kawasan lain di seluruh Sarawak,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan menangani masalah setinggan di negeri ini, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata pelbagai rancangan dan langkah telah dibuat bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan dan Penyelesaian Setinggan Negeri (JPPSN) menangani isu tersebut.

Menurutnya sejak 2010, JPPSN melalui Kementerian Perumahan, Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Jabatan Tanah dan Survei serta HDC bertindak secara aktif mengenal pasti kawasan-kawasan setinggan yang boleh diselesaikan terlebih dahulu.

Hasilnya, kata beliau sebanyak 25 kawasan setinggan  melibatkan 384 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya diselesaikan di seluruh Sarawak menerusi kaedah-kaedah penyelesaian yang telah dikenal pasti iaitu in-situ, Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung.

“Ini antara lain melibatkan kawasan-kawasan penempatan setinggan di Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Samarahan dan Betong.  “Langkah-langkah ini akan memastikan para penghuni setinggan dapat diberi tempat kediaman dan penempatan yang lebih baik, selesa dan selamat.

“Kerajaan negeri turut membenarkan penyaluran bekalan air ke kawasan setinggan sebagai langkah sementara dan atas dasar prikemanusiaan dengan syarat bekalan ini dibuat secara berkelompok atau berpusat,” katanya.

Abang Johari menambah, HDC juga memberi keutamaan kepada golongan setinggan untuk menduduki unit kediaman di bawah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Rumah Mampu Milik (RMM) HDC sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Misalnya, sejumlah 36 keluarga setinggan telah ditempatkan di RMM Kidurong, 17 di RMM Banjaran Serapi, Matang, 80 di PPR Taman Dahlia dan 757 di PPR Bandaria Park, Bintulu, katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>