KUCHING: Langkah memasang jeriji pada tingkap di setiap wad Hospital Umum Sarawak (HUS) tidak sesuai kerana bukan sahaja menelan perbelanjaan yang ba-nyak, malah tidak akan dapat menyelesaikan masalah atau kecenderungan pesakit untuk bunuh diri.
Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, justeru pihak hospital perlu menfokuskan langkah pencegahan seperti memantau pesakit-pesakit yang mengalami tekanan jiwa serta berpotensi membunuh diri.
“Memasang jeriji bukan kos efektif serta tidak dapat membanteras masalah tersebut secara keseluruhan, sebab itu kita tekankan langkah-langkah pencegahan dalam situasi ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.
Dr Jerip menjelaskan, sebagai langkah pencegahan di setiap wad, pegawai-pegawai perubatan dan doktor perlu mengenal pasti sekiranya ada pesakit yang cenderung untuk membunuh diri atau mana-mana tanda psikiatri.
“Malah, kita kini telah menempatkan pakar psikiatri di HUS, bukan hanya di (Hospital) Kota Sentosa… jika mana-mana pesakit ada menunjukkan kecenderungan (bunuh diri) atau mengalami tekanan jiwa, maka mereka akan membuat penilaian ke atas pesakit berkenaan,” katanya.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata, para jururawat yang bertugas juga telah diarahkan untuk melaporkan sebarang ke-lakuan pelik pesakit kepada pihak berwajib.
Selain itu juga katanya, sistem kawalan keselamatan juga diperkasakan di mana pegawal keselamatan dibenarkan membuat rondaan di wad-wad bagi mengesan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan ketika diminta mengulas lanjut insiden warga emas yang menamatkan nyawanya dengan terjun dari tingkat sembilan HUS, bagaimanapun enggan memberi sebarang kenya-taan.
“Tak ada komen buat masa ini kerana HUS masih dalam proses menyiasat,” katanya secara ringkas.