KUCHING: Aktiviti pengendalian kargo di pelabuhan-pela-buhan dalam negeri ini menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi tempoh Januari hingga September 2013.
Pencapaian memberangsangkan yang dicatatkan ini dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong ketika ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN semalam.
Menurut Manyin, tiga daripada pelabuhan iaitu Lembaga Pelabuhan Rajang Port, Lembaga Pelabuhan Miri dan Perbadanan Limbongan dan Kerja Kejuruteraan Brooke telah dianugerahkan rating ‘4-Star’ bagi Pengurusan Kewangan Cemerlang 2012 berdasarkan ketepatan indeks oleh Jabatan Audit Negara pada 11 November 2013.
“Kargo yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) bagi tiga suku pertama (sembilan bulan) 2013 meningkat 6.8 peratus kepada 7.2 juta tan berbanding tempoh yang sama 2012.
“Daripada jumlah tersebut, 6.74 juta tan dikendalikan di dermaga manakala bakinya 462,714 tan dikendalikan di tempat pelabuhan,” katanya.
Bagi Lembaga Pelabuhan Rajang pula, bilangan kargo yang dikendalikan bagi tempoh Januari hingga September 2013 menurun 2.3 peratus daripada 1.36 juta tan pada 2012 kepada 1.33 juta tan pada 2013.
Ini sekali gus menurunkan bilangan kargo yang dikendalikan di tempat pelabuhan daripada 1.29 juta tan pada 2012 kepada 285,513 tan pada 2013 bagi tempoh yang sama.
Bagaimanapun pengendalian kargo dicatatkan meningkat di Lembaga Pelabuhan Miri dan Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis bagi tempoh Januari hingga Septmber 2013.
Lembaga Pelabuhan Miri mencatat peningkatan 8 peratus kepada 4.39 juta tan berbanding 4.08 juta tan pada 2012 manakala Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis mencatat peningkatan 36.7 peratus kepada 3.63 juta tan pada 2013 berbanding 2.66 juta tan pada 2012.
Setakat ini, Lembaga Pe-labuhan Tanjung Manis dalam proses melaksanakan MS ISO 9001:2008 dan dijangka me-nerima pensijilan pada Di-sember 2013.