Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Hentikan keganasan terhadap wanita

$
0
0

KHIDMAT TALIAN: Fatimah (lima kiri) berkata, Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) juga menyediakan perkhidmatan Talian Krisis Wanita bertujuan untuk mendengar dan memberi sokongan kepada wanita serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi wanita daripada pelbagai sudut.

Wanita perlu dilindungi, disayangi, dihormati bukan untuk disakiti dan dihina: Fatimah

KUCHING: Wanita merupakan ciptaan istimewa untuk dilindungi, disayangi serta dihormati dan bukan untuk diperlakukan dengan ganas, disakiti dan dihina.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, keganasan terhadap wanita yang paling kerap ialah keganasan yang dilakukan oleh pasangan itu sendiri merangkumi suami, bekas suami atau teman lelaki.

“Berdasarkan statistik JKM, jumlah kes keganasan rumah tangga di Sarawak adalah sebanyak 49 kes dari awal tahun ini hingga September lepas iaitu pengurangan jika dibandingkan dengan 64 kes pada tahun 2012 dan 56 kes pada 2011.

“Sementara itu, statistik polis menunjukkan sebanyak 190 kes dilaporkan di negeri ini setakat bulan Oktober 2013 berbanding 249 kes pada 2011 dan 282 kes pada 2012,” ujar Fatimah ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Sambutan tersebut diadakan bertujuan untuk menggalakkan persekitaran selamat serta bebas dari sebarang bentuk penderaan, penganiayaan dan keganasan bagi wanita.

Turut hadir Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Di samping itu, Fatimah turut memberitahu bahawa jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan sehingga bulan Oktober tahun ini oleh Hospital Umum Sarawak ialah sebanyak 51 kes, Hospital Miri (120 kes), Hospital Sibu (102 kes) dan Hospital Bintulu (18 kes).

“Kerajaan amat mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada golongan wanita dan pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam menangani isu keganasan terhadap wanita termasuk meratifikasikan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 5 Julai 1995.

“Selain itu, kerajaan juga telah meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada 2011 yang melarang perbezaan terhadap warganegara semata-mata disebabkan oleh jantina,” katanya sebagai panduan umum.

Bagi tujuan melindungi wanita daripada keganasan, kerajaan juga telah meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang dikuatkuasakan pada 20 Februari 2012, meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) pada 1 April 2012 bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja serta mengguna pakai Seksyen di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan berkaitan dengan menyerang atau mengunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

“Sementara itu, kerajaan juga telah menguatkuasakan Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran pada 2008 bagi membantu wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).”

“Di samping itu, kerajaan juga telah menubuhkan Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC) di semua jabatan kecemasan hospital kerajaan bagi memberi perkhidmatan pemeriksaan, rawatan dan pengesahan bagi kes-kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di samping menguruskan laporan polis bagi pihak mangsa,” jelasnya.

Kerajaan menerusi agensi-agensi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga ada menyediakan khidmat kaunseling keluarga yang boleh dimanfaatkan untuk membanteras keganasan terhadap wanita yang terdapat di seluruh negara dengan bantuan lebih daripada 200 kaunselor.

Pada masa yang sama, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai kursus dan program kesedaran bagi menangani keganasan terhadap wanita termasuk penganjuran Seminar Kepekaan Gender, Seminar Wanita Anti Jenayah (WAJA) dan Program Transformasi Minda dan Empowering Rural Girl bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak-hak wanita daripada aspek perundangan sivil dan syariah serta perlindungan dan pembelaan wanita secara berkesan.

“Di samping itu, Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) juga menyediakan perkhidmatan Talian Krisis Wanita bertujuan untuk mendengar dan memberi sokongan kepada wanita serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi wanita daripada pelbagai sudut.

“Wanita yang memerlukan sokongan dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah atau krisis yang dihadapi juga boleh menghubungi SWWS di talian 082-422660,” ujar Fatimah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>