
BANTUAN: Jabu menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar Penan yang ditaja di bawah Program Pembangunan Modal Insan-GTP Sabah dan Sarawak. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berharap kerajaan persekutuan dapat mewujudkan lebih banyak Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) di negeri ini termasuk di penempatan masyarakat Penan.
Beliau berkata, sekolah dengan konsep seumpama itu penting dibina di penempatan masyarakat Penan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan negara.
“Kita akan memohon kepada kerajaan persekutuan untuk membina lebih banyak sekolah K9 di penempatan masyarakat Penan seperti yang diwujudkan di Long Bedian.
“Usaha ini penting agar anak Penan yang berpotensi tidak tercicir daripada sistem pendidikan negara,” katanya dalam sidang media selepas sesi perjumpaan pelajar Penan yang ditaja di bawah Program Pembangunan Modal Insan-GTP Sabah dan Sarawak di sini, semalam.
Menurutnya, kebanyakan masyarakat Penan terpaksa pergi ke sekolah yang terletak jauh dari kampung mereka.
“Selepas tamat sekolah rendah, mereka terpaksa menyambung sekolah menengah yang jauh.
“Jadi adalah penting untuk mewujudkan sekolah yang terletak berhampiran kampung mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata, kerajaan akan mewujudkan sebuah pusat khidmat untuk masyarakat Penan di Tutoh Apoh.
“Pusat ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti digital,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Jabu turut menyampaikan bantuan kepada 13 pelajar Penan yang menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SEGi College.