Ia sebagai instrumen dasar pastikan perniagaan dapat manfaat inisiatif Pelan Induk PKS: Awang Tengah
KUCHING: Definisi baharu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 akan memastikan pembangunan PKS terus relevan seiring dengan pelaksanaan Pelan Induk PKS (2012-2020).
Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, definisi baharu itu bertindak sebagai instrumen dasar dalam memastikan segmen perniagaan yang bersesuaian mendapat manfaat daripada inisiatif di bawah pelan induk serta program pembangunan PKS lain dan skim kewangan oleh kerajaan.
“Definisi baharu PKS yang telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ini bakal dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan.
“Di bawah definisi PKS ini, bagi sektor pembuatan jumlah jualan tahunan dinaikkan dua kali ganda kepada tidak melebihi RM50 juta berbanding definisi lama RM25 juta dan bilangan pekerja bertambah kepada tidak melebihi 200 orang (definisi lama 150 orang),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini semalam.
Awang Tengah berkata, bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain jumlah jualan dinaikkan kepada tidak me-lebihi RM20 juta (definisi lama RM5 juta) dan bilangan pekerja bertambah kepada tidak melebihi 75 orang pekerja (definisi lama 50 orang).
Di samping itu, katanya langkah itu juga diharap me-nyokong peralihan negara kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan apabila sumbangan sektor perkhidmatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat daripada 20 peratus (2012) kepada 65 peratus menjelang 2020.
“Definisi yang diperluaskan rangkumannya juga membolehkan lebih banyak perniagaan mendapat akses kepada program PKS.
“Dengan kajian semula yang telah dilakukan ini, PKS akan mencakupi 98.5 peratus daripada jumlah perusahaan di negara ini berbanding dengan 97.3 peratus pada masa kini,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pres-tasi PKS, Awang Tengah berkata, pada 2012 PKS menyumbang kepada ekonomi melebihi 32 peratus daripada KDNK.
“Pada 2013, kita menjangka PKS mencatat pertumbuhan sebanyak 5 hingga 6 peratus,” tambahnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan berhasrat menggalakkan lebih banyak industri tambah nilai hiliran diceburi oleh pengusaha PKS dalam projek SCORE, sektor minyak dan gas serta industri halal.
“PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan sumbangan mereka perlu dipertingkatkan agar setanding dengan PKS di negara maju dan berpendapatan tinggi yang lain,” ujarnya.