
RASMI: Norasyikin (enam kiri) bersama tetamu memotong kek sebagai simbolik perasmian Hari Wanita Peringkat Daerah Meradong, semalam.
Peningkatan 14.08% wanita bekerja dalam bidang profesional buktikan hakikat ini
BINTANGOR: Peningkatan sebanyak 14.08 peratus golongan wanita bekerja dalam bidang profesional membuktikan bahawa wanita mampu bergerak maju seiring dengan kaum lelaki.
Prestasi tersebut juga turut membuktikan bahawa wanita juga memainkan peranan yang penting dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara dewasa ini.
Isteri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Norasyikin Ibrahim berkata kaum wanita perlu melangkah lebih jauh daripada pencapaian sekarang dan bangkit ke tahap lebih tinggi selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju.
“Wanita memainkan peranan penting dalam pembinaan negara dan memegang jawatan utama dalam organisasi yang menjadi tonggak pembangunan negara.
“Berdasarkan stastistik, pencapaian wanita di Malaysia sangat konsisten dan baik serta meliputi pelbagai bidang, dalam bidang pendidikan bagi sesi ekademik 2013-2014 misalnya 68.02 peratus daripada 41,573 calon yang mengikuti ijazah pertama adalah wanita.
“Ia meningkat daripada 62 peratus pada 2009 hingga 2011, dalam pasaran pekerjaan pula kadar penyertaan wanita naik kepada 49.5 peratus tahun lalu, berbanding 44.7 peratus pada 1995,” katanya pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Meradong di sini semalam.
Tambahnya, sudah tiba masanya wanita melangkah lebih jauh daripada pencapaian mereka sekarang.
“Pada masa yang sama, mereka perlu lebih kreatif merencana aktiviti demi kepentingan bersama.
“Saya rasa golongan wanita kita di sini begitu bernasib baik kerana berpelajaran malah, mereka berpeluang dan bebas untuk menimba ilmu.
“Bagi yang tidak mampu, kerajaan menyalurkan pelbagai kemudahan dan bantuan bagi memastikan golongan ini tidak tercicir. Cuma yang tinggal hendak…tak hendak sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian dan kejayaan wanita Malaysia dalam pelbagai bidang kini amat membanggakan.
Dalam bidang tertentu katanya, ada di kalangan kaum wanita lebih berjaya berbanding lelaki.
“Ramai wanita berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi baik dalam negara mahupun luar negara dengan mendapat kejayaan yang cemerlang.
“Ekoran itu, kita dapati berlaku peningkatan jumlah kaum wanita di sektor awam, swasta dan bidang perniagaan.
“Dalam bidang politik pula, kita perhatikan sudah ramai kaum wanita yang bukan sahaja menjadi ahli biasa, bahkan begitu aktif dan ada yang berjaya dilantik memegang jawatan penting dalam parti dan pentadbiran kerajaan,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan di Dewan Gelanggang Bola Keranjang Bintangor dan turut dihadiri sekitar 200 orang masyarakat setempat terdiri daripada golongan wanita.