
TERBAIK DAN SELAMAT: Abdul Karim serta para jemputan menikmati pengalaman yang selesa ketika duduk di dalam bas BA yang baharu, yang turut dilengkapi dengan sistem keselamatan terkini bagi memastikan perjalanan yang selamat.
KUCHING: Syarikat pengangkutan bas pilihan ramai, Bus Asia (BA) melancarkan 10 unit bas baharunya yang bercirikan mesra wanita dan kanak-kanak di Kuching Sentral semalam.
Bertemakan ‘Betul-Betul Merah, Selesa dan Cantik’, bas BA baharu turut menyediakan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta perkhidmatan istimewa untuk kelas VIP.
Hadir pada upacara perasmian ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg.
Menurut Pengurus Besar Biaramas Express Sdn Bhd Lai Sin Kiong, bas-bas BA yang baharu kini dilengkapi dengan tandas khas buat kaum wanita dan kanak-kanak.
“Selain itu, kru-kru kabin bas yang mesra akan sentiasa memastikan para penumpang dalam keadaan selesa dan sentiasa cuba memenuhi keperluan mereka di sepanjang perjalanan,” ujar Lai ketika mengalukan kedatangan para jemputan ke majlis pelancarannya.
Lai memberitahu, bas-bas BA baharu kini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang terkini seperti sistem brek ABS di samping menggunakan gear automatik dan ia hanya bergerak pada kelajuan maksimum 90 kilometer sejam bagi memastikan keselamatan perjalanan para penumpang.
“Malah kesemua para pemandu bas kami kini dibekalkan dengan alat ‘red alert’ yang dipasang pada telinga mereka bagi memastikan mereka tidak mengantuk atau leka semasa memandu.
“Saya berpendapat sektor perniagaan pengangkutan harus selari dengan teknologi semasa dari segi penggunaan peralatan keselamatan bagi memastikan perjalanan para penumpang adalah selamat dan selesa,” jelas Lai.
Pada masa yang sama, beliau turut menyuntik semangat kepada para pekerjanya supaya memberi perkhidmatan terbaik supaya menjadi peneraju perniagaan perkhidmatan pengangkutan bas di negeri ini.
Operasi bas BA meliputi perjalanan dari Kuching ke Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Pontianak dalam keadaan yang selesa dan selamat.
Untuk maklumat lanjut mengenai perjalanan dan perkhidmatan Bus Asia, sila hubungi 082-411111 atau lawati laman www.ba.my.