Sejajar dengan seruan PM yang sentiasa promosi perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negara ini
KUCHING: Ahli perniagaan Datuk Sim Swee Yong berkata perayaan di negeri ini merupakan komponen bagi mengeratkan silaturahim serta mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama.
Ia sejajar dengan seruan Perdana Menteri yang sentiasa mempromosikan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negara ini.
“Kita semua hari ini, hidup dalam keadaan yang harmoni dan membawa kepada segala kebaikan dan kedamaian untuk pembangunan insan dan negara.
“Segalanya perlu kita kekalkan untuk kebaikan yang akan dinikmati bersama dengan generasi seterusnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Lebuh Carpenter kelmarin.
Kerajaan negeri katanya, turut menggesa matlamat yang sama, bagi menyatukan rakyat demi pembangunan negeri yang lebih maju.
“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pelan perancangan untuk membina Golden Bridge merentangi Sungai Sarawak ke Bazar Utama yang membawa maksud untuk urusan niaga bagi kedua-dua tempat.
“Seabad yang lalu, peniaga Cina datang berhijrah dan berniaga bersama kaum Melayu di sepanjang Sungai Sarawak.
“Disebabkan persefahaman yang baik wujudnya perpaduan dan masing-masing memahami keperluan budaya, agama dan adat resam yang berbeza,” tambahnya.
Upacara sambutan Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Lebuh Carpenter merupakan upacara signifikan yang disambut buat kali ke-12 tahun ini.
Seramai 100 kanak-kanak membawa tanglung sementara beratus-ratus lagi penduduk sekitar bandar raya dan pelancong asing berkumpul menyaksikan pelbagai pertunjukan masyarakat Cina.
Pesta Tanglung dan Kuih Bulan disambut pada setiap bulan ke lapan dalam kiraan lunar kalendar Cina.
Turut hadir Temenggung Kaum Cina Lu Kim Yong dan AJK Penganjur Majlis Sambutan Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Lebuh Carpenter Sim Tiang Chok.