
PELANCARAN: Yek (tengah), Dr Wong (dua kiri) dan ahli jawatankuasa FORCA Bintulu memegang poster simbolik pelancaran Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang sempena Festival Tanglung dan Makanan anjuran FORCA di Dataran Esplaned, Bintulu malam kelmarin.
BINTULU: Penganjuran Festival Tanglung dan Makanan di sini tahun ini dilihat lebih meluas peranannya iaitu bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara kaum Cina dan kaum-kaum lain berbanding festival yang sama tahun lalu.
Ini terbukti dengan penyertaan ramai kaum lain dalam aktiviti penjualan makanan termasuk terlibat dalam acara sampingan serta pengwujudan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang yang berperanan sebagai kempen perpaduan.
Festival itu turut dapat disaksikan semua kaum apabila penganjurannya berpusat di Dataran Esplaned, di sini, satu tempat yang senang dikunjungi terutama oleh penduduk kawasan bandar dan perkampungan sekitar.
Dataran Esplaned juga berhadapan dengan laluan utama pengguna jalan raya di pusat bandar, berbanding penganjuran berdekatan Tebingan Promenade di Tanjung Batu dua tahun lalu.
Penasihat Persekutuan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bahagian Bintulu Temenggung Barry Yek Siew Hui berkata tahun ini cukup istimewa bagi FORCA sejak kejayaan penganjuran festival yang sama dua tahun lalu memandangkan tahun ini bertepatan dengan Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, Ulang Tahun Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Ke-35, Ulang Tahun FORCA Ke-25 dan Festival Kuih Bulan.
“Pujian harus diberikan kepada FORCA atas usahanya memupuk keharmonian kaum di negeri ini, melalui penganjuran festival seumpamanya kerana semua kaum dapat duduk bersama menyaksikan festival dan menikmati hasil jualan makanan oleh peserta yang terlibat,” katanya ketika melancarkan Festival Tanglung dan Makanan 2013 di Dataran Esplaned, di sini malam kelmarin.
Festival enam hari bermula 14 hingga 19 September itu merupakan landasan persefahaman antara kaum, justeru memberi peluang semua lapisan masyarakat memahami budaya kaum Cina.
Menurut Yek, ini merupakan usaha giat mempromosikan keharmonian kaum di negara ini dan penghargaan buat BDA dan Pejabat Residen Bintulu atas usaha mereka bekerjasama dengan FORCA untuk menjayakan festival ini.
Katanya Bintulu sejak 35 tahun lalu mengalami perubahan besar bukan sahaja menempatkan kedudukannya sebagai bandar membangun nombor satu di Sarawak serta Malaysia dan dunia.
“Bintulu kini memasuki gelombang pembangunan ketiga, lebih besar berbanding fasa pembangunan pertama dan kedua sebelumnya.
“Peluang pekerjaan begitu banyak di sini dan negeri ini untuk semua orang justeru kita wajar berterima kasih kepada kerajaan dan kepimpinan mereka,” katanya.
Sempena Hari Malaysia, beliau turut menyeru warga Malaysia memupuk semangat patriotik dalam diri dan bekerjasama dengan kerajaan membantu membangunkan negara ini untuk menjamin kehidupan generasi masa depan lebih baik.
Turut hadir Presiden FORCA Bahagian Bintulu Dr Wong Aik Loung, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu Pemanca Dr Francis Toh Chiew Peng, Timbalan Residen Bintulu Sirai Daha, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim, Pegawai Pelajaran Daerah Bintulu Tan Kiang Tuang, Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad dan ketua-ketua masyarakat setempat.