SIBU JAYA: Gara-gara dituduh mengganggu peniagaan orang lain, seorang lelaki Cina dibelasah ketika sedang bersembahyang di depan altar sebuah rumah di sini, pagi Isnin lalu.
Sebelum kejadian, mangsa, 44, yang juga menjalankan perniagaan menjual barangan beribadat kaum Cina di rumah sewanya, dipanggil oleh seorang lelaki ke rumahnya untuk bersembahyang.
Namun, ketika pengadu sedang bersembahyang di depan altar, tiba-tiba kepalanya dipukul dengan kuat mengakibatkannya berasa pening dan hampir pengsan.
Apabila menoleh ke belakang, tangan kanannya pula dipukul sehingga bengkak oleh lelaki yang menjalankan perniagaan yang sama di situ.
Sebaik sahaja mangsa hendak balik, lelaki terbabit memintanya membayar wang sejumlah RM990 dengan alasan mangsa telah menjejaskan perniagaannya.
Mangsa juga diarah oleh lelaki itu supaya menghentikan perniagaannya selama 99 hari sekiranya dia tidak dapat membayar wang yang diminta.
Bimbang keselamatannya terancam, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral tengah hari semalam.