SIBU: Pasangan ibu dan anak lelakinya ditahan polis kerana disyaki melesapkan wang sejumlah RM8,000 milik seorang wanita melalui transaksi kad ATM.
Kejadian dipercayai berlaku pada Jun lalu apabila seorang wanita berusia 30-an yang tidak pandai menggunakan kad ATMnya meminta pertolongan kenalannya terbabit untuk mengeluarkan RM600 daripada akaunnya.
Difahamkan, pasangan ibu dan anak lelakinya itu telah melakukan apa yang telah diarahkan oleh pengadu.
Bagaimanapun, apabila pengadu memeriksa akaunnya baru-baru ini dan mendapati baki wangnya telah kekurangan sebanyak RM8,000, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
Sejurus itu, pengadu dikatakan bertanya kepada pasangan ibu dan anak lelakinya berhubung perkara terbabit, namun pertengkaran tercetus di antara mereka.
Tidak berpuas hati dengan perkara itu, pengadu membuat laporan polis.
Bertindak selepas menerima maklumat, polis pergi ke sebuah rumah untuk menahan pasangan ibu dan anak lelakinya bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek kini sedang direman sehingga siasatan polis selesai.