MUKAH: Pasukan Futsal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers yang mewakili daerah Mukah berjaya meraih tempat ketiga pada Kejohanan Sukan Tingkatan Enam peringkat kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sebelum melangkah ke peringkat kebangsaan, SMK Three Rivers berjaya menundukkan Samarahan pada peringkat negeri yang berlangsung di Sarikei.
Pengurus pasukan, Mehat Ismail berkata ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan kejayaan tersebut adalah hasil usaha semua pihak.
“Kejayaan ini adalah satu pencapaian membanggakan dan kejayaan yang dikecapi adalah hasil usaha gigih semua pihak terutama pemain dan jurulatih pasukan.
“Ini merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh SMK Three Rivers selepas mendapat tempat ketiga.
Walaupun kita gagal menjadi johan, kita tetap mampu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat dari negeri lain,” katanya ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Mehat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah yang memberi sokongan penuh kepada pasukan sekolah serta kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) dengan kerjasama Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan disertai 16 buah pasukan.
Dalam pada itu, jurulatihnya, Rudy Ladi melahirkan rasa gembira selepas pasukannya mampu bersaing dengan pasukan lain walaupun mereka bukan dari sekolah sukan.
“Kita telah membuat persiapan rapi pelbagai aspek terutamanya stamina para pemain dalam masa satu bulan sebelum bermain ke peringkat kebangsaan.
Kita juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan futsal yang terpilih di Mukah sebelum ke Negeri Sembilan.
“Pencapaian ini memang sangat membanggakan pihak saya sebagai jurulatih, pengurus pasukan dan pihak sekolah yang telah membawa dan melonjakkan nama SMK Three Rivers terutamanya dalam sukan sukan futsal.
“Selain itu, perancangan terhadap pasukan berjalan lancar dan taktikal yang kita gunakan mengikut perancangan yang ditetapkan dan para pemain telah menunjukan semangat kerjasama yang baik,” katanya.