
TARIKAN: Taib, Ragad dan Morshidi tertarik dengan gubahan buah-buahan pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri di Kuching, semalam. — Gambar Jeffery Mostapha
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengurangkan subsidi minyak adalah untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Menurutnya, Perdana Menteri terpaksa memilih untuk menjaga kedudukan kewangan secara keseluruhan meskipun pada masa sama memberi sedikit beban kepada rakyat.
“Nampaknya kerajaan tidak ada pilihan, daripada kita menghadapi masalah kedudukan kewangan lebih besar, lebih elok kita turunkan subsidi sedikit,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Bersama Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, semalam.
Beliau turut meminta rakyat agar memahami rasional di sebalik keputusan kerajaan berbuat demikian.
“Perdana Menteri kita mempunyai pilihan antara dua, saya fikir pilihan beliau menunjukkan lebih keutamaan (mengurangkan subsidi minyak),” katanya.
Harga RON95 dan diesel naik 20 sen mulai 3 September.
Sebelum naik, RON95 dijual RM1.90 seliter menjadikannya kini RM2.10, manakala diesel RM1.80 berbanding harga terkini RM2.
Sementara itu, majlis tersebut dihadiri oleh kakitangan kerajaan dari pelbagai jabatan.
Ia turut dihadiri isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Ghani.