
DENGAR MASALAH RAKYAT: Simoi (duduk tengah) sedang mendengar masalah rakyat di Kampung Putat sambil diperhatikan Sulaiman (kiri) serta ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, semalam.
SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri mengingatkan setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar menggunakan geran yang diagihkan oleh wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk tujuan pembangunan di kampung serta rumah panjang masing-masing bukannya untuk kepentingan peribadi.
Menurutnya, sepatutnya geran yang disalurkan wakil rakyat itu adalah untuk pembangunan serta melaksanakan pelbagai program di rumah panjang atau kampung masing-masing bukannya untuk kepentingan peribadi JKKK yang terlibat.
“Oleh yang demikian, kami selaku wakil rakyat tidak mahu melihat ada di kalangan JKKK membahagikan geran yang disalurkan kepada tabung JKKK untuk kepentingan peribadi sebaliknya geran itu digunakan untuk pembangunan rumah panjang atau kampung untuk mengadakan aktiviti JKKK,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Turun Padang Jenguk Rakyat di Kampung Putat dekat sini semalam.
Dalam hal ini, peranan pengerusi JKKK di setiap rumah panjang atau di kampung-kampung seharusnya mengambil kira setiap perkara ini kerana pengerusi JKKK harus tahu bagaimana hendak membelanjakan wang peruntukan untuk JKKK mereka itu.
“Seandainya geran tersebut dibahagikan untuk setiap pintu bilik dalam sesebuah rumah panjang atau kampung itu digunakan untuk tujuan membeli perkakasan rumah serta untuk tabung persekolahan anak-anak mereka tidaklah kisah, tetapi sekiranya untuk tujuan yang tidak berfaedah, ini adalah perbuatan yang salah.
“Sepatutnya wang tersebut untuk tujuan membeli perkakasan rumah atau perbelanjaan anak-anak ke sekolah dan sebagainya, sebaliknya wang yang dibahagikan tersebut untuk tujuan yang tidak berfaedah dan tidak menguntungkan sesebuah keluarga mahupun JKKK yang terlibat,” jelasnya.
Oleh yang demikian, pengerusi JKKK harus memikirkan bersama dengan ahli-ahli JKKK mereka, ke mana mereka hendak membelanjakan wang tersebut, asalkan geran daripada wakil rakyat tersebut untuk tujuan pembangunan JKKK mereka.
Hadir sama pada program berkenaan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak DUN Lingga Sulaiman Amut.