PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyekat peruntukan kewangan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ekoran kekalahan memalukan pasukan negara kepada Korea Selatan pada final Siri Super ISTAF di India Ahad lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pasukan negara tidak mempunyai alasan untuk kalah dengan pasukan seperti Korea Selatan.
Beliau berkata, oleh itu peruntukan untuk PSM akan disekat selagi tiada pelan pemulihan yang dikemukakannya.
“Malulah, kita kalah dengan Korea Selatan. Saya sedang berfikir apa nak buat dengan PSM. Dengan kekalahan ini, saya tidak akan beri apaapa peruntukan kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Kejohanan Bola Jaring 2013 anjuran Women’s Sport dan Fitness Foundation Malaysia (WSFFM) di Putrajaya semalam.
Khairy berkata, walaupun PSM meminta peruntukan terus daripada Perdana Menteri dan bukan melalui KBS, namun beliau akan meminta supaya peruntukan tersebut tidak diberikan.
Skuad Malaysia yang dikendalikan Nordi n Sabarudin tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam kejohanan itu dan sekali gus membolehkan Korea Selatan sebagai antara kuasa baharu sukan sepak takraw antarabangsa.
Khairy berkata, walaupun KBS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal pentadbiran sesuatu pasukan sukan, namun dari segi pemberian peruntukan, KBS masih mempunyai autoriti.
“Tindakan tegas ini bukan hanya kepada PSM, namun untuk semua persatuan yang tidak mempunyai perancangan yang baik dalam mengendalikan pasukan mereka,” katanya dan menambah RM1 juta diperuntukkan kepada PSM setiap tahun. — Bernama