
PERIKSA: Kamarol memeriksa pasport pekerja menggunakan alat khas di sebuah restoran 24 jam di Jalan Simpang Tiga, semalam.
415 diperiksa di sekitar Kuching pada hari pertama operasi yang bermula semalam
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Sarawak menahan 90 pekerja asing daripada sejumlah 415 yang diperiksa di sekitar bandar raya ini pada hari pertama Ops 6P yang bermula semalam.
Bagaimanapun, angka itu hanya sebilangan kecil memandangkan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Sarawak Datu Robert Lian memberitahu, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sarawak adalah sekurang-kurangnya 15,000.
Menurutnya, kebanyakan yang ditangkap adalah warganegara Indonesia seramai 69 orang, Bangladesh (10), India (lapan) manakala Myanmar, Vietnam dan Pakistan, masing-masing seorang.
Manakala pecahan yang ditangkap mengikut industri pula katanya, sektor perkhidmatan seramai 45 orang di mana enam daripada jumlah itu adalah perempuan, perladangan pula 28 orang (empat perempuan) dan perkilangan (27 orang).
“Kami telah memberkas 90 orang dalam operasi yang bermula jam 12.01 pagi tadi (semalam) dan akan menjalankan siasatan kenapa mereka masih berada di sini dan siapa majikan mereka.
“Kami akan memfokus kepada majikan dan jika cukup bukti, kami akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Ops 6P tamat petang semalam.
Robert berkata, pihak jabatannya di Miri turut memulakan operasi itu semalam dan berjaya menangkap 15 orang.
Manakala bahagian-bahagian lain katanya, akan mula bergerak untuk memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selain mengenakan tindakan terhadap majikan yang enggan memutihkan pekerja asing mereka, hari ini.
Mereka yang ditangkap melanggar Seksyen 6(3) iaitu tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau sebat enam kali atau kesemuanya sekali.
Tangkapan itu turut dibuat di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa dan Peraturan Imigresen 39(b) kerana melanggar syarat pas diberikan.
“Tangkapan itu dibuat berdasarkan risikan awal dan maklumat daripada orang awam.
“Pada masa akan datang, kami akan meneruskan risikan-risikan ini dan melibatkan agensi penguat kuasa lain seperti polis dan RELA,” katanya.
Operasi awal pagi semalam itu yang diketuai Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan) Kamarol Johari, dimulakan di ladang kelapa sawit di Balai Ringin dan diikuti kilang kayu di Serian.
Turut diperiksa termasuk beberapa pusat refleksologi di Padungan serta di Chonglin Park, sebuah restoran makanan India di Jalan Simpang Tiga dan kawasan komersial di Demak Laut.