Mencatat kemenangan bergaya membelasah Kedah 4-0 pada aksi Piala Malaysia
KUCHING: Sarawak merampas kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2013 setelah mencatat kemenangan bergaya membelasah Kedah dengan 4-0 di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin.
Biarpun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Darulaman Selasa lalu, skuad Ngap Sayot tetap unggul dengan dua jaringan diledakkan oleh Bobby Gonzales dan masing-masing satu gol daripada Zamri Morshidi dan Muamer Salibasic.
Beraksi dalam stadium keramat (Stadium Negeri) yang penuh, kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, anak-anak buah Robert Alberts menghadapi ancaman Kedah terutamanya pemain import, Alan Guc yang hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-11 namun percubaannya dihalang pertahanan Sarawak.
Justeru, minit ke-21 menyaksikan Bobby yang merupakan ‘mesin gol’ Sarawak hampir menjaringkan gol pendahuluan pasukan tuan rumah namun percubaannya sedikit tersasar.
Bermula separuh masa kedua, Sarawak terus mengancam kubu lawan dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-53 menerusi Zamri Morshidi selepas menerima hantaran cantik daripada Bobby.
Sang Kenari yang tertekan terus dirundung malang apabila Muamer menjaringkan gol kedua dari jarak jauh pada minit ke-62.
Biarpun mendahului 2- 0, pemain Sarawak terus ‘bernafsu’ untuk menyerang kubu lawan dan hasilnya diperolehi pada minit ke-74 sekali lagi menerusi Bobby.
Sarawak sepatutnya menjaringkan gol kelima namun jaringan Zamri pada minit ke-76 tidak dikira kerana ‘offsaid’.
Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang ditemui selepas perlawanan berkata kemenangan menentang Kedah ternyata bermakna untuk mencerahkan peluang pasukannya beraksi pada peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, menurut Alberts, anak-anak buahnya bermain agak berhati-hati pada separuh masa pertama dan membolehkan pasukan pelawat banyak merencanakan serangan.
“Kita mungkin boleh menjaringkan gol awal pada babak pertama sekiranya peluang yang diperolehi pemain-pemain dapat disempurnakan dengan baik.
“Namun, permainan separuh masa pertama agak berhati-hati menyebabkan kedudukan terikat dan kita terus bangkit pada babak kedua,” katanya.
Alberts berkata, penguasaan pasukannya hanya bermula pada separuh masa kedua dengan serangan bertali arus ke kubu pasukan lawan.
“Separuh masa kedua menyaksikan kita menjaringkan empat gol… ini adalah ekoran semangat berpasukan tinggi dan perjuangan kental yang ditampilkan oleh semua pemain,” katanya.
Kempen Piala Malaysia 2013 berehat selama dua minggu selepas perlawanan malam kelmarin (Sabtu) bagi memberi laluan kepada kejohanan Pestabola Merdeka berlangsung di Pahang.
Saingan Piala Malaysia akan bersambung semula pada 18 September nanti dan Sarawak akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar, Singapura menentang Lions XII FC.
Skuad Ngap Sayot 2013 menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching pada 21 September depan bagi menutup saingan Kumpulan D.