MIRI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disarankan menaik taraf tapak Lapangan Terbang Lama Lutong menjadi gelanggang tetap bagi penganjuran pelbagai jenis sukan permotoran.
Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata cadangan berkenaan dikemukakan oleh Persatuan Motor Miri (PMM) berikutan sambutan menggalakkan pada kejohanan Borneo International Drag Race 2013.
“Kita menyokong sepenuhnya usaha-usaha untuk mempromosikan sukan permotoran di sini. Miri memiliki litar gokart dan motorcross, tidak mustahil jika litar itu juga dinaik taraf,” katanya semasa melepaskan peserta Borneo International Drag Race 2013 semalam.
Lee memberitahu, sukan permotoran semakin mendapat sambutan positif di kalangan penduduk tempatan dan adalah wajar jika sukan terbabit terus dipromosikan melalui penganjuran kejohanan.
“Sukan permotoran mampu mengalakkan orang awam melibatkan diri dalam aktiviti luar serta mengelakkan generasi muda daripada tertumpu terhadap aktviti dalam rumah seperti permainan video dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau juga menyarankan bahawa PMM menyediakan kertas kerja dan cadangan seterusnya dihantar secara rasmi kepada KBS.
“Saya secara peribadi akan menyokong cadangan ini dan berharap litar ini akan dinaik taraf dan menjadi litar utama untuk semua sukan permotoran melibatkan dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden PMM, Troy Yau berkata pihaknya menganjurkan pertandingan itu selama 10 tahun dan telah mendapat sambutan memberangsangkan.
“Kita bercadang untuk menganjurkan kejohanan ini dua kali setahun berbanding sekali setahun berikutan sambutan dari peserta dan penyokong sangat baik,” katanya.
Kejohanan itu disertai lebih 100 orang pelumbapelumba dari Brunei Darusalam, Sabah, Bintulu, Kuching, Miri dan negara, Thailand.
Hadir sama pengerusi penganjur merasmikan Borneo International Drag Race 2013, Ngu Kie Poh.