
TANDA INGATAN: Chieng (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Nanta selepas melancarkan Asia Pacific Young Active Citizen Forum di Sibu, malam kelmarin.
SIBU: Berdasarkan kepercayaan universal untuk melakukan perubahan, rakyat perlu mengambil tindakan bersama untuk memperbaiki diri mereka dan dunia di sekeliling mereka.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia juga relevan dalam konteks masyarakat baharu di Malaysia amnya dan negeri ini khasnya.
“Pencapaian dan tanggungjawab yang dikongsi bersama adalah pencapaian sebenar yang datang dari luar dan kita perlu mengambil cabaran itu sebagai contoh yang baik,” katanya pada Majlis Pelancaran Asia Pacific Young Active Citizen Forum di sini malam kelmarin.
Forum itu dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Mandarin Sibu.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi yang mewakilinya melancarkan forum tersebut.
Taib berkata anak-anak muda pada hari ini harus berani menghadapi cabaran global yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan demi masa depan.
Beliau juga berharap melalui forum berkenaan, peserta forum harus berkongsi idea dalam soal pembangunan be lia di rantau Asia Pasifik demi manfaat bersama negara-negara yang menyertainya.
“Secara peribadinya, saya percaya usaha tekun untuk meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan di kalangan rakyat merentasi sempadan antarabangsa di Asia Pasifik, akan mengeratkan perhubungan kita dengan rakan-rakan dari negara lain.
“Dalam hal ini, forum ini boleh digunakan sebagai asas mendekati dunia bagi berkongsi tanggungjawab,” tegasnya.
Katanya semangat OMOIYARI memberi inspirasi kepada konsep tanggungjawab sosial individu (ISR), bermakna setiap ahli JCI bertanggungjawab terhadap dirinya termasuk ahli keluarga, rakan, organisasi JCI, perniagaan, masyarakat, alam sekitar dan masa depan.
“Ini selaras dengan nilai-nilai yang membentuk rakyat yang lebih aktif dalam usaha mewujudkan masyarakat yang lebih sempurna,” katanya.
Hadir sama Presiden JCI Malaysia Kin Tan Jiin Oei, pengerusi jawatankuasa penganjur Joseph Chieng, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee serta tetamu jemputan lain.