IPOH: Program Anak Angkat Menteri Besar Perak ialah hasil sumbangan dan tajaan syarikat korporat serta swasta tanpa melibatkan sebarang kewangan kerajaan negeri, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua 113 orang anak angkat menteri besar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah luar bandar yang berpotensi dalam bidang akademik.
“Kami tawarkan kepada kepada mana-mana badan korporat serta syarikat swasta untuk menyumbang wang dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bertindak sebagai sekretariat, itu sahaja, tiada apa-apa janji dan habuan kepada penyum-bang. Mereka membiayai program itu dengan hati tulus ikhlas,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) pada persidangan itu.
Pengerusi DAP Perak itu sebelum ini turut mempertikaikan nama program berkenaan dengan mencadangkannya ditukar kepada Anak Angkat YBUDR memandangkan nama Anak Angkat Menteri Besar Perak memberi gambaran seolah-olah ia melibatkan sumbangan menteri besar.
Saarani berkata, pemimpin DAP itu tidak perlu ‘fobia’ dengan nama program ber-kenaan kerana ia bukan program Anak Angkat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Mereka adalah anak angkat Menteri Besar Perak, apa masalahnya…pernah dengar tak Kursi Pengajian Melayu Tun Abdul Razak, bukan daripada duit (Allahyarham) Tun Abdul Razak.
Katanya, program Anak Angkat Menteri Besar dari tahun 2010 hingga 2013 melibatkan RM624,176.30 untuk 66 orang pelajar Melayu, Cina (21), India (11), Orang Asli (14) dan seorang dari lain-lain bangsa. — Bernama